Perkhidmatan penstriman muzik memudahkan jutaan lagu didengari dari pelbagai peranti tanpa perlu dibeli oleh pengguna. Ia sedikit sebanyak mengurangkan masalah cetak rompak yang pernah menggugat masa depan industri muzik hanya setengah dekad yang lalu. Spotify telah mengumumkan mereka kini mempunyai 83 juta pelanggan berbayar.
Ini adalah peningkatan dari 75 juta pelanggan berbayar pada Mei yang lalu dan 40% berbanding suku yang sama tahun lalu. Mereka juga kini mempunyai 180 juta pengguna aktif bulanan sekaligus menjadikannya perkhidmatan penstriman muzik terbesar di dunia. Dalam masa terdekat, Spotify juga akan melancarkan speaker pintar mereka sendiri bagi menyaingi Google Home dan Apple HomePod.