Microsoft Akan Memberhentikan Mula Semula Rawak Apabila Mengemaskini Sistem Operasi Windows 10

Microsoft Akan Memberhentikan Mula Semula Rawak Apabila Mengemaskini Sistem Operasi Windows 10

Diterbitkan pada July 27, 2018 oleh .

Salah satu masalah yang sering membelenggu para pengguna sistem operasi Windows 10 ialah kemaskininya yang sering berlaku secara rawak dan tidak mengenal waktu. Dari beberapa kemaskini yang lepas, pihak Microsoft dilihat telah mencuba untuk memperbaiki masalah ini, tetapi kurang berjaya.

Microsoft telah melancarkan kemaskini Redstone 5 untuk para pengguna Windows 10 Insider dan Fast Ring yang hadir dengan pelbagai kemaskini baru yang dikatakan akan memudahkan lagi cara anda menggunakan pelbagai ciri-ciri yang hadir pada sistem operasi tersebut.

Terkini, pihak Microsoft mengumumkan lagi bahawa dengan kemaskini akan datang, Windows 10 akan menggunakan sistem pembelajaran mesin dan model ramalan (predictive model) untuk mengagak bilakah waktu paling sesuai untuk komputer anda menerima kemaskini sistem operasi tersebut.

Menurut Microsoft, model ramalan kemaskini ini telahpun digunakan secara dalaman untuk beberapa bulan, dan telah menunjukkan beberapa hasil yang cukup memberangsangkan. Sebelum ini, Windows 10 akan memasang kemaskini baru apabila ia melihat komputer tidak digunakan, walaupun anda hanya sedang membuat kopi buat sementara waktu.

Satu perkara yang agak merisaukan pula ialah Microsofrt juga menyatakan bahawa model ramalan ini menggunakan teknologi pelayan awan, dan akan mengesan tabiat penggunaan komputer anda secara tersorok.

Buat masa ini kami juga sedang menunggu bilakah Microsoft akan membenarkan para pengguna komputer untuk memilih bilakah mereka ingin mengemaskini sistem operasi mereka sendiri.


TIPS & ULASAN