Cari @ Amanz

Bateri yang boleh ditanggalkan dan digantikan dengan yang bercas suatu ketika dahulu adalah fungsi standard pada telefon pintar. Dengan keperluan kalis air dan wujudnya pengecasan pantas, fungsi ini tidak lagi disokong pada majoriti peranti di pasaran. Tetapi masih terdapat keperluan peranti dengan bateri boleh ditukar seperti di dalam industri pembinaan.

Panasonic melancarkan dua peranti Android baharu di bawah keluarga Toughbook. Panasonic Toughbook T1 dan Toughboook L1 kedua-duanya bukan sahaja tahan lasak, kalis air dan kalis debu malahan mempunyai bateri yang boleh ditukar tanpa peranti dimatikan terlebih dahulu. Sistem warm swappable ini menggantung operasi peranti seketika untuk penukaran bateri. Selepas penukaran dilakukan, peranti akan kembali beroperasi seperti biasa.

Panasonic Toughbook T1 dilengkapi skrin 5-inci HD, dijana pemproses Snapdragon 210, memori sebesar 2GB RAM, storan 16GB, kamera belakang 8-Megapixel dan bateri sebesar 3200 mAh.,

Panasonic Toughbook L1 pula dilengkapi skrin 7-inci HD, dijana pemproses Snapdragon 210, memori sebesar 2GB RAM, storan 16GB, kamera belakang 8-Megapixel dan bateri sebesar 3200 mAh.

Kedua-duanya melepasi piawaian tahan lasak MIL STD-810G, kali debu IP66 dan kalis air IP68. Harga jualan untuk kedua-dua peranti tahan lasak ini ialah $1499 (~RM 6100) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd