Cari @ Amanz

Walaupun permintaan cakera keras dari pengguna merudum sehingga kilang pembuatannya di Petaling Jaya akan ditutup, nampaknya di sektor-sektor lain seperti pengawasan video dan sebagainya, masih terdapat keperluan untuk cakera keras yang mampu menampung storan digital yang banyak.

Western Digital kini dilihat mengemaskini siri WD Purple mereka, iaitu cakera keras yang dibina khusus untuk sistem kamera CCTV yang memerlukan storan yang besar untuk menampung video-video pengawasan berkualiti tinggi.

Mereka kini dilihat memperkenalkan dua cakera keras baru didalam siri ini yang hadir dengan storan bersaiz 10TB dan 12TB, khusus untuk video pengawasan yang hadir dengan resolusi tinggi seperti Full HD dan juga 4K.

Dari segi ciri, kedua-dua cakera keras ini masih berputar pada kadar 5400 RPM, dan hadir dengan teknologi eksklusif AllFrame AI, iaitu sebuah teknologi yang mampu menampung sistem pengawalan video yang menggunakan kecerdasan buatan, dan mampu menstrim 16 video sekaligus untuk analisa video, dan 32 video sekaligus untuk analisa menggunakan sistem kecerdasan buatan.

Menurut Western Digital Malaysia, model WD Purple 10TB dan 12TB ini akan tiba di pasaran Malaysia pada bulan Oktober 2018 kelak pada harga RM1699 untuk model 10TB dan RM1999 untuk model 12TB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd