Carian
Metallica Menggunakan Data Spotify Untuk Menghasilkan Senarai Lagu Yang Dimainkan Ketika Konsert
July 30, 2018 Effi Saharudin

Kugiran rock Metallica terkenal dengan muzik yang agresif serta ikonik sejak melancarkan album pertama mereka 35 tahun yang lalu. Selain yang menjadi tema metal,mereka juga terkenal sebagai artis terawal yang menentang masalah cetak rompak digital yang dipelopori oleh Napster. Menarik sekali Metallica kini menggunakan data pendengar Spotify untuk menghasilkan senarai lagu yang dimainkan ketika konsert.

Menurut ketua pegawai eksekutif Spotify Daniel Ek, Metallica melihat data lagu yang paling popular di bandar-bandar dimana mereka akan mengadakan konsert. Menerusi data raya yang dikumpul oleh Spotify, senarai lagu yang lebih serasi dengan penonton konsert akan dapat dihasilkan. Ia juga memastikan lagu yang dimainkan dari konsert ke konsert adalah berbeza serta lebih pelbagai.

Penstriman muzik kini menjadi semakin popular dan menggantikan jualan album fizikal. Bagi memastikan muzik mereka kekal relevan, pemuzik harus menggunakan teknologi untuk lebih dekat kepada peminat. Sekiranya Metallica mengumumkan mereka akan kembali ke Malaysia, pastikan anda menggunakan Spotify untuk memainkan lagi kegemaran berkali-kali supaya boleh mendengarkannya dimainkan secara langsung.

Komen