Cari @ Amanz

Telefon boleh-lipat bukan sesuatu yang baru. Namun, dengan arena teknologi yang membangun pesat, kini pengeluar peranti bersaing untuk hadir dengan telefon pintar menggunakan skrin fleksibel yang boleh dilipat dua menjadi telefon, atau dibuka menjadi tablet – tanpa sambungan dua panel melalui engsel khusus seperti beberapa tahun sebelum ini.

Samsung sedia mengumumkan yang mana mereka sedang membangunkannya untuk pengenalan awal tahun hadapan, sementara Huawei diperkatakan turut ingin menjadi terawal memperkenalkan peranti seumpamanya.

Kini, menurut ET News, dua lagi syarikat pengeluar peranti dari China dikatakan ingin turut hadir dengan telefon pintar boleh-lipat, iaitu Xiaomi dan Oppo.

Xiaomi dan Oppo dikatakan baru sedang memulakan pembangunan, dimana memerlukan mereka turut mendapatkan sokongan dari pengeluar komponen dan sebagainya sebelum hadir dengan peranti berkenaan.

Oppo sendiri sebelum ini telah mengejutkan ramai melalui Find X, dan semestinya ramai menantikan inovasi seterusnya daripada pengeluar berkenaan. Sementara untuk Xiaomi pula, mereka terkenal dengan penawaran peranti pada harga mampu-milik, dan mungkin menjadi pilihan ramai sekiranya mereka menawarkan telefon boleh-lipat pada harga sangat kompetitif.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan tahun 2019 ini untuk melihat bagaimanakah para pengeluar peranti bersaing antara satu sama lain untuk hadir dengan telefon boleh-lipat masing-masing.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd