Projek swapandu Uber hadir dengan beberapa projek mereka tersendiri, termasuklah kereta swapandu, lori swapandu dan juga teksi terbang. Terkini, nampaknya bilangan projek tersebut bakal menurun, kerana Uber telahpun menutup projek swapandu lori mereka.
Menurut Eric Meyhofer, ketua Uber Advanced Technologies Group, projek lori swapandu ini dihentikan untuk memfokuskan tenaga kerja mereka kepada kereta-kereta swapandu dulu, yang dilihat sedang diuji di beberapa bandar di Amerika, rantau Eropah dan Asia.
Beliau juga menyatakan bahawa semua pembangun teknologi swapandu yang bekerja untuk projek lori swapandu tersebut akan diserap masuk kedalam kumpulan swapandu kereta untuk memesatkan lagi pembangunan teknologi tersebut.
Projek lori swapandu ini sepatutnya digabungkan bersama-sama dengan perkhidmatan penghantaran Uber Freight mereka, untuk melihat jika lori-lori swapandu ini boleh digunakan untuk menggantikan pemandu yang biasanya memandu jarak panjang untuk menghantar barang-barangan dari negeri ke negeri di Amerika Syarikat.
Sebuah lori yang menggunakan teknologi swapandu Uber ini pernah berjaya menghantar satu kargo minuman arak di Colorado, dan dikatakan satu permulaan baru untuk penghantaran produk melalui lori di Amerika Syarikat.