Cari @ Amanz

Apple nampaknya bakal menghadapi musim panas yang cukup sibuk sekali, kerana mereka dilihat bakal mengumumkan pelbagai peranti-peranti baru seperti iPhone baru, Apple Watch baru, dan terkini, nampaknya MacBook Air yang baru juga.

Baru-baru ini, terdapat laporan menarik yang hadir mengenai laptop nipis dan ringan dari Apple, dan ia adalah mengenai CPU yang bakal digunakan oleh laptop tersebut.

Sebuah laporan daripada akhbar Economic Daily News menyatakan bahawa Apple akan memuatkan MacBook Air terbaru mereka menggunakan CPU Intel generasi kelapan Kaby Lake yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2017.

MacBook Air

Dikatakan juga bahawa pelan awal Apple ialah untuk menggunakan CPU siri Cannon Lake dengan binaan silikon 10nm, akan tetapi Intel mengumumkan bahawa CPU tersebut hanya akan hadir di pasaran pada penghujung tahun 2019, manakala CPU Whiskey Lake yang sepatutnya tiba pada suku ketiga dan keempat pada tahun ini dikatakan terlalu lambat juga untuk pengumuman produk baru Apple yang biasanya berlangsung pada bulan September setiap tahun.

Keputusan untuk menggunakan CPU Kaby Lake dan bukan generasi kesembilan Coffee Lake menjadi tanda tanya di sini, kerana stok CPU Coffee Lake siri-U yang biasanya digunakan untuk laptop bersaiz nipis dan ringan masih baru di pasaran, dan mempunyai prestasi yang lebih baik daripada CPU generasi sebelum ini.

Walaupun begitu, MacBook Air akhirnya akan menerima kemaskini CPU setelah sekian lamanya, kerana model-model MacBook Air sebelum ini menggunakan siri CPU Intel generasi kelima Broadwell.

Apa-apa pun, Apple dijangka melancarkan kemaskini MacBook Air di acara pengumuman mereka pada bulan September kelak. Kita sama-sama tunggu untuk melihat jika ura-ura ini benar ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd