Cari @ Amanz

NVIDIA nampaknya bakal melancarkan siri kad grafik terbaru mereka tidak lama lagi. Pelbagai laman web teknologi melaporkan bahawa NVIDIA telah menghantar jemputan untuk menghadiri acara pengumuman produk terbaru mereka pada 20 Ogos di bandar Cologne, bersempena dengan acara Gamescom yang juga akan berlangsung di sekitar waktu yang sama.

Oleh kerana acara NVIDIA ini akan bersempena dengan acara permainan video dan komputer tersebut, ia diura-urakan bahawa NVIDIA akhirnya akan melancarkan siri kad grafik terbaru mereka, iaitu NVIDIA GeForce GTX 1180, kad grafik gaming arus utama mereka yang terbaru.

Sebelum ini, kad grafik siri terbaru ini dikatakan akan menggunakan cip pemprosesan Volta yang digunakan oleh kad-kad grafik untuk komputer pembelajaran mesin seperti Titan V dan juga GV100, tetapi pelbagai laporan juga menunjukkan bahawa kod nama untuk cip grafik terbaru yang akan digunakan ialah “Turing”.

Dalam pada itu, terdapat juga ura-ura yang hadir mengenai kehadiran kad-kad grafik siri GTX 11XX lain, seperti NVIDIA GeForce GTX 1170 dan juga GTX 1160, yang akan diumumkan dan dilancarkan tidak lama selepas pengumuman GTX 1180. Berikut ialah tarikh-tarikh pelancaran yang diwar-warkan:

 

  • GeForce GTX 1180 pada 30 Ogos
  • GeForce GTX 1170/1180+ pada 30 September
  • GeForce GTX 1160 pada 30 Oktober

Buat masa ini, tanda harga untuk kad grafik GeForce GTX 1180 ini masih tidak diketahui lagi, tetapi terdapat kemungkinan bahawa ia akan diberi harga yang mahal daripada kad grafik GTX 1080 sewaktu ia mula dijual.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd