Dalam dunia audio visual dan permainan video, Sony ialah nama yang cukup gah. Peralatan audio mereka dipuji kerana menghasilkan kualiti bunyi yang menakjubkan manakala konsol PlayStation mereka terjual hanya setengah bilion unit. Tetapi nasib tidak menyebelahi unit peranti pintar mereka kerana jualan yang semakin menyusut tahun demi tahun.
Menurut laporan kewangan terkini, Sony Mobile hanya berjaya menjual 2 juta telefon pintar pada suku kedua 2018. Ini adalah penurunan sebanyak 41% berbanding suku yang sama tahun lalu. Pengurangan jualan dikesan pada pasaran Jepun dan Eropah tetapi masih stabil di pasaran lain. Oleh sebab itu Sony Mobile mengurangkan sasaran jualan peranti sepanjang 2018 dari 10 juta ke 9 juta unit. Sebagai perbandingan, Huawei telah menjual lebih 100 juta telefon pintar pada tahun ini.
Sony masih belum bercadang keluar dari penghasilan telefon pintar. Pengenalan teknologi 5G dijangka akan mengubah nasib mereka pada tahun 2019. Pada penghujung bulan ini pula, Sony Xperia XZ3 akan dilancarkan.