ASUS Melancarkan Siri Papan Induk B450 Baru Untuk CPU AMD Ryzen+ – Termasuk ROG STRIX, TUF Dan PRIME

ASUS Melancarkan Siri Papan Induk B450 Baru Untuk CPU AMD Ryzen+ – Termasuk ROG STRIX, TUF Dan PRIME

Diterbitkan pada Ogos 1, 2018 oleh .

CPU AMD Ryzen+ dilancarkan beberapa bulan yang lalu, dan walaupun syarikat tersebut memperlihatkan beberapa pilihan CPU kelas premium dan pertengahan, pilihan papan induk hanya terhad kepada siri X470 yang hadir dengan tanda harga yang agak mahal.

Terkini, nampaknya beberapa syarikat pembuat papan induk akhirnya sudahpun hadir dengan papan-papan induk siri B450, yang merupakan siri papan induk kelas pertengahan dan mampu milik untuk CPU AMD Ryzen+ tersebut.

 

ASUS merupakan salah satu daripada syarikat-syarikat tersebut, dan mereka telah melancarkan beberapa siri papan induk untuk platform B450 ini, termasuklah ASUS ROG STRIX, ASUS TUF dan juga ASUS PRIME.

ASUS memperkenalkan dua papan induk melalui siri ASUS ROG STRIX B450, iaitu ASUS ROG STRIX B450-F dan ASUS ROG STRIX B450-I. Papan induk ASUS ROG STRIX B450-F merupakan papan induk bersaiz ATX penuh yang hadir dengan ciri-ciri seperti dua slot storan SSD M.2 yang menyokong teknologi PCIe 3.0, penyejukan VRM menyeluruh dan sokongan lampu RGB Aura Sync.

ASUS ROG STRIX B450-I pula ialah papan induk bersaiz Micro-ITX dan cukup sesuai sekali untuk binaan komputer yang kecil. Ia dimuatkan dengan dua slot DRAM, Ia juga hadir dengan sokongan untuk WiFi terbina di dalamnya, manakala slot M.2 papan induk ini hadir dengan gabungan untuk storan SSD dan juga cip audio.

Papan induk ASUS TUF B450-Plus Gaming dan ASUS TUF B450M-Plus Gaming pula hadir dengan spesifikasi yang sama, tetapi binaan ATX dan m-ATX. Kedua-dua papan-papan induk ini hadir dengan komponen tahan lasak, sokongan untuk memori DDR4 sebanyak 64GB dan juga boleh menampung dua kad grafik AMD dalam konfigurasi CrossFireX.

Siri ASUS PRIME B450 terdiri daripada papan-papan induk seperti ASUS PRIME B450-Plus, ASUS PRIME B450M-A dan ASUS PRIME B450M-K yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Fan Xpert, 5X Protection III yang membolehkan pengguna mendapatkan prestasi maksima daripada CPU AMD Ryzen+ mereka.

Beberapa daripada papan-papan induk ini sudahpun hadir di pasaran Malaysia, termasuklah ASUS ROG STRIX B450 F GAMING, ASUS TUF B450M PLUS GAMING dan ASUS PRIME B450M-K. Tanda harga untuk papan-papan induk ini adalah seperti berikut:

  • ASUS ROG STRIX B450 F GAMING = RM599
  • ASUS TUF B450M PLUS GAMING – RM519
  • ASUS PRIME B450M-K – RM429

TIPS & ULASAN