Kerajaan Tiada Rancangan Membenarkan Perkhidmatan Perkongsian Motosikal Seperti Go-Jek Beroperasi Di Malaysia

Kerajaan Tiada Rancangan Membenarkan Perkhidmatan Perkongsian Motosikal Seperti Go-Jek Beroperasi Di Malaysia

Diterbitkan pada Ogos 1, 2018 oleh .

Perkhidmatan perkongsian kereta seperti Grab sudah boleh beroperasi secara sah di Malaysia sejak 12 Julai lalu. Perubahan pada rang undang-undang dan pemandu memiliki e-lesen adalah antara syarat yang dikenakan kerajaan. Tetapi di kota besar seperti Kuala Lumpur, perkhidmatan ini masih tidak menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Oleh itu perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Go-Jek dilihat sebagai alternatif murah dan lebih pantas untuk ke destinasi pilihan.

Di dalam sesi soal jawab di Parlimen, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan membenarkan perkhidmatan perkongsian motosikal untuk beroperasi di negara buat masa ini. Beliau menjawab cadangan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin bahawa perkhidmatan ini dapat ditawarkan kepada rakyat Malaysia sebagai alternatif kepada pengangkutan awam dan perkongsian kereta sedia ada.

Menurut Anthony Loke lagi kadar kemalangan jalan raya melibatkan motosikal adalah amat tinggi sekaligus menjadikan ia perkhidmatan yang membahayakan pelanggan. Pada waktu yang sama jika ia dibenarkan, jumlah motosikal akan bertambah dan memburukkan lagi masalah kesesakan lalulintas.

Sebelum ini perkhidmatan perkongsian motosikal Dego Ride diperkenalkan di ibu negara sebelum diharamkan pihak berwajib kerana melanggar undang-undang negara. Dengan Grab kini beroperasi tanpa pesaing, adalah kini masa yang baik untuk membenarkan semula perkongsian motosikal di negara kita? Kongsi pendapat anda di ruangan komen.


TIPS & ULASAN