GIGABYTE Memperlihatkan Siri Papan Induk B450 AORUS Untuk CPU AMD Ryzen+
AMD

GIGABYTE Memperlihatkan Siri Papan Induk B450 AORUS Untuk CPU AMD Ryzen+

Diterbitkan pada Ogos 1, 2018 oleh .

Selain daripada ASUS, nampaknya GIGABYTE juga memperlihatkan papan induk untuk CPU AMD Ryzen+ siri B450 melalui jenama gaming mereka, AORUS.

Papan-papan induk AORUS ini juga diberi nama model baru untuk memudahkan pengguna memilih papan-papan induk berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka. Diantara papan-papan induk yang diperlihatkan termasuklah GIGABYTE B450 AORUS EliteB450 AORUS Pro, B450 I AORUS Pro dan B450 AORUS M, dan kesemuanya hadir dengan ciri-ciri yang menarik dan cukup berkuasa pada harga mampu milik.

Model AORUS Pro dan Elite misalnya hadir dengan sokongan untuk dua storan SSD M.2 PCIe, memori DDR4 sehingga 64GB dan juga penghadang I/O yang terbina pada papan induk tersebut.

GIGABYTE mempunyai dua model B450 AORUS Pro, satu tanpa, dan satu hadir dengan sokongan WiFi, yang dinamakan B450 AORUS Pro WiFi. Kedua-dua papan induk ini hadir dengan ciri-ciri dan spesifikasi yang serupa, kecuali untuk sokongan WiFi 802.11ac terbina, bersama-sama dengan Bluetooth 4.2.

B450 I AORUS Pro WiFi pula ialah papan induk bersaiz Mini ITX yang hadir dengan ciri-ciri sama yang hadir pada papan induk B450 AORUS Pro WiFi yang biasa, tetapi untuk mereka yang lebih gemar membina komputer bersaiz kecil.

Untuk mereka yang ingin membina komputer bersaiz kecil yang berkuasa, B450 Aorus M ialah pilihan yang cukup sesuai sekali. Walaupun papan induk ini hadir dengan rekaan micro-ATX, ia mempunyai dua slot PCIe yang membolehkannya menyokong dua kad grafik AMD Radeon dalam konfigurasi CrossFire.

Menurut GIGABYTE Malaysia, buat masa ini, mereka telah membawa masuk dua buah papan induk B450 ini, iaitu GIGABYTE B450 AORUS Pro dan juga GIGABYTE AORUS M. Papan induk B450 AORUS Pro boleh dibeli pada harga RM509, manakala B450 AORUS M pula dijual pada harga RM429.


TIPS & ULASAN