Carian
Jumlah Pemandu Baharu Berdaftar Dengan Grab Berkurangan
August 1, 2018 Effi Saharudin

Tanggal 12 Julai lalu, pemandu perkhidmatan perkongsian kereta diberikan masa setahun untuk memenuhi  peraturan baharu yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum dibenarkan beroperasi. Antaranya ialah bayaran lesen operasi, pemeriksaan kenderaan dan keperluan mempunyai insurans kemalangan membabitkan pemandu, penumpang, kenderaan serta pihak ketiga. Ini meletakkan pemandu perkhidmatan seperti Grab setanding dengan pemandu teksi.

GrabCar JohorKesan jangka pendek pengenalan peraturan ini sudah mula dilihat. Ketua operasi Grab Malaysia, Sean Goh dipetik mengatakan jumlah pemandu baharu yang berdaftar kini berkurangan. Ini menurut beliau adalah kerana majoriti pemandu Grab tempatan adalah pekerja separuh masa. Kos tambahan yang perlu ditanggung untuk beroperasi mungkin dilihat sebagai tidak berbaloi bagi mereka yang tidak bekerja sepenuh masa.

Menurut beliau lagi pihak Grab merasakan apa yang berlaku ini adalah normal ketika tempoh peralihan dan percaya keadaan akan kembali pulih di masa hadapan. Impak sebenar pengenalan undang-undang ini akan hanya dirasai tahun hadapan selepas tempoh setahun sebelum penguatkuasaan yang diberikan tamat.

Komen