MSI PS42 Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia – Laptop Nipis Dan Ringan Untuk Tugasan Produktiviti Pada Harga RM3949
MSI

MSI PS42 Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia – Laptop Nipis Dan Ringan Untuk Tugasan Produktiviti Pada Harga RM3949

Diterbitkan pada Ogos 1, 2018 oleh .

MSI sebuah jenama yang terkenal untuk perkakasan dan peranti gaming mereka. Laptop-laptop mereka biasanya hadir dengan spesifikasi yang dibina khusus untuk membolehkan pengguna menikmati pengalaman permainan komputer yang lancar.

Terkini, MSI nampaknya telah memperlihatkan sebuah laptop yang dibina khusus untuk tugasan harian dan mereka yang sering bekerja di luar pejabat.

Laptop tersebut, yang dinamakan MSI PS42 ialah sebuah laptop nipis dan ringan yang hadir dengan paparan bersaiz 14 inci yang mempunyai resolusi Full HD 1920×1080, disamping bezel nipis yang membolehkan paparan skrin tersebut menggunakan 80 peratus daripada keluasan panel. Pada berat 1.19kg, ia boleh dikatakan sebagai sebuah laptop yang ringan dan mudah untuk dibawa kemana-mana.

Dari segi spesifikasi, laptop MSI PS42 ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i5 generasi kelapan Coffee Lake, memori DDR4 sebanyak 8GB, storan SSD sebesar 256GB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce MX150 dengan memori GDDR5 sebanyak 2GB.

MSI GS42 ini juga dilengkapi dengan beberapa ciri seperti lampu latar papan kekunci, teknologi True Color yang membolehkan pengguna memilih tona warna paparan laptop ini, disamping teknologi penyejukan Cooler Boost 3 yang akan menyejukkan CPU dan GPU laptop ini dengan baik.

Bukan itu sahaja, MSI juga menjanjikan bahawa laptop ini mampu bertahan selama 10 jam dengan satu pengecasan penuh, yang membolehkan anda melakukan tugasan harian anda di luar pejabat tanpa perlu membawa pengecas laptop bersama anda.

Laptop MSI GS42 ini kini boleh dibeli di kedai elektronik dan atas talian SenQ Malaysia pada harga RM3949.


TIPS & ULASAN