Samsung Galaxy Tab S4 Dilancarkan Dengan Kemampuan Menjadi Komputer Riba DeX

Samsung Galaxy Tab S4 Dilancarkan Dengan Kemampuan Menjadi Komputer Riba DeX

Diterbitkan pada Ogos 1, 2018 oleh .

Secara mengejut Samsung Galaxy Tab S4 dilancarkan sebentar tadi. Pada asalnya ia dipercayai akan dilancarkan ketika acara IFA yang berlangsung pada penghujung bulan ini. Tablet Android ini seperti dijangka mempunyai sokongan mod DeX yang tidak memerlukan dermaga. Antaramuka desktop DeX akan dapat diakses apabila ia disambung kepada kerangka berpapan kekunci atau disambung kepada televisyen secara berwayar.

Dari segi spesifikasi Samsung Galaxy Tab S4 dilengkapi skrin 10.5-inci SAMOLED beresolusi 2560×1600 pixel, dijana pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 4GB RAM, storan sebesar 64/256 GB. kamera utama sebesar 13-Megapixel, kamera hadapan sebesar 8-Megapixel dan bateri sebesar 7300 mAh. Terdapat sokongan pengecasan pantas menggunakan port USB-C.

Sebuah S-Pen disertakan bagi membolehkan lakaran dilakukan di atas skrin. Stylus ini mempunyai fungsi yang sama seperti yang ditemui pada Note 8 tanpa sokongan bluetooth seperti ura-ura sebelum ini. Ia juga adalah tablet pertama Samsung dengan sokongan imbasan anak mata. Tiada sokongan pengimbas cap jari disertakan buat pertama kali. Dari segi audio pula, empat pembesar suara yang ditala oleh AKG dengan sokongan Dolby ATMOS disertakan.

Seperti kami katakan pada perenggan pertama, antaramuka Tab S4 akan berubah untuk kelihatan seperti desktop DeX apabila disambung kepada kerangka Book Cover Keyboard. Tablet akan berubah menjadi sebuah komputer riba yang boleh digunakan untuk melakukan tugasan. Dengan penyesuai USB-C ke HDMI, sebuah monitor tambahan turut boleh disambung untuk memaparkan mod DeX.

Samsung Galaxy Tab S4 dijual pada harga bermula dari $650 (~RM 2642) sebuah manakala Book Cover Keyboard pula pada harga $150 (~RM 610) sebuah.


TIPS & ULASAN