Cari @ Amanz

Google terkenal sebagai enjin carian atas talian yang terbesar di dunia. Ia juga dikenali sebagai syarikat yang mengendali pelbagai jenis perkhidmatan, termasuklah Android, YouTube, Waze dan sebagainya.

Enjin carian Google diharamkan di China, kerana kerajaan tersebut menyekat maklumat yang boleh diakses oleh rakyatnya dengan cukup ketat sekali, terutamanya mengenai politik dan kebanyakan berita mengenai dunia luar. Bukan itu sahaja, pelbagai laman web seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya juga dihalang aksesnya dari rakyat China.

Menurut laporan dari The Intercept, nampaknya Google sedang membina sebuah enjin carian dan aplikasi Android khusus untuk kegunaan rakyat China, dimana enjin carian tersebut akan menapis pelbagai terma carian yang menjurus kearah anti-komunis, maklumat mengenai pembangkang dan sebagainya.

Aplikasi Android ini, yang dinamakan Maotai dan Longfei akan menarik maklumat tapisan daripada perisian Great Firewall yang digunakan untuk menapis internet di China, dan menggunakan maklumat tersebut untuk ditunjukkan di dalam carian Google di China.

Carian-carian yang dilarang tidak akan ditunjukkan di laman carian, dan Google akan menunjukkan penafian bahawa beberapa hasil carian telah ditapis berdasarkan arahan kerajaan China. Diantara contoh yang diberikan ialah hasil carian daripada BBC dan juga Wikipedia.

The Intercept turut menyatakan bahawa hanya sekumpulan kecil daripada pembangun di Google yang mengetahui dan sedang membangunkan aplikasi-aplikasi ini, dan kebanyakan daripada keputusan yang dibuat mengenai projek ini hanya diketahui oleh eksekutif-eksekutif tertinggi syarikat tersebut.

Aplikasi-aplikasi Maotai dan Longfei ini juga dikatakan sedang menghampiri versi lengkap mereka, dan dikatakan akan hadir untuk dimuat-turun oleh peranti-peranti Android di China dalam masa enam hingga sembilan bulan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd