Tesla Dikatakan Akan Menggunakan Pemproses Kecerdasan Buatan Mereka Sendiri Untuk Meningkatkan Tahap Kecekapan

Tesla Dikatakan Akan Menggunakan Pemproses Kecerdasan Buatan Mereka Sendiri Untuk Meningkatkan Tahap Kecekapan

Diterbitkan pada Ogos 6, 2018 oleh .

Di belakang semua teknologi kereta swapandu ialah sistem kecerdasan buatan yang dibina khusus untuk tujuan pemanduan kendiri oleh komputer. Dua nama besar di arena kenderaan swapandu ialah Tesla dan juga NVIDIA.

Kereta-kereta swapandu Tesla yang sedang diuji sekarang menggunakan platform kecerdasan buatan swapandu dari NVIDIA yang dinamakan NVIDIA Drive. dan kerjasama setahun ini nampaknya bakal berakhir tidak lama lagi kerana Tesla dikatakan hendak membuat platform kecergasan buatannya sendiri.

Tesla sudahpun mempunyai sebuah komputer kecerdasan buatan prototaip mereka sendiri yang dinamakan Hardware 3 yang menyokong kereta-kereta elektrik Tesla seperti Model 3, S dan juga X.

Sistem kecerdasan buatan NVIDIA Drive membuat pengiraan pada tahap pelagak perisian menggunakan gabungan CPU dan GPU, manakala Hardware 3 mampu membuat pengiraan terus dari bahagian litar. Ini mengurangkan sela-masa penghantaran data, disamping membolehkan komputer Hardware 3 ini membuat lebih banyak perkiraan lagi.

Menurut Pete Bannon, pengarah projek Hardware 3, sistem kecerdasan kamera NVIDIA yang digunakan oleh Tesla mampu memproses 200 gambar sesaat, tetapi Hardware 3 mampu memproses sebanyak 2000 gambar sesaat.

Beliau juga menyatakan bahawa penggunaan sistem kecerdasan buatan mereka sendiri membolehkan mereka mengubahsuai sistem tersebut dengan lebih mudah dan cepat untuk kegunaan mereka sendiri.

Buat masa ini, Tesla tidak menyatakan lagi bilakah mereka akan memuatkan komputer Hardware 3 mereka ke dalam kereta Tesla yang sedia ada, tetapi mereka berkata bahawa ia adalah semudah mencabut komputer NVIDIA Drive sebelum ini, dan mencucuk masuk komputer mereka sendiri.


TIPS & ULASAN