Carian
TNB Diharap Boleh Menceburi Arena Telekomunikasi Sebagai Pembekal Jalur-Lebar
August 2, 2018 Aman

Tenaga Nasional sebelum ini sedia mengambil-alih Cyberjaya Broadband, selain turut mempunyai pelaburan pada Fibrecomm, salah satu penyedia perkhidmatan optik fiber di Malaysia.

Hari ini, bercakap mengenainya di Parlimen, Menteri Komunikasi dan Multimedia mengatakan mereka telah memulakan perbincangan dengan pihak TNB untuk turut menceburi arena telekomunikasi, dan turut menjadi pembekal perkhidmatan jalur-lebar.

Seperti ramai sedia maklum, pada hari ini Telekom Malaysia adalah yang dominan dalam arena berkenaan dan sering diperkatakan ramai sebagai memonopoli pasaran. Sekiranya TNB turut menyertai arena sama sebagai pembekal perkhidmatan jalur-lebar, ia akan memecahkan “monopoli” Telekom Malaysia, dan menawarkan lebih pilihan kepada syarikat penyedia telekomunikasi.

Untuk pengetahuan, Tenaga Nasional sedia mempunyai sokongan infrastruktur dengan sokongan optik fiber melalui sambungan kabel kuasa mereka. TNB menggunakan sokongan optik fiber berkenaan untuk memantau sistem dan mengenal-pasti sebarang masalah pada kabel kuasa.

Tiang Elektrik

TNB sedia melabur sehingga RM10 bilion untuk tujuan pemasangan kabel fiber optik yang selari dengan kabel kuasa mereka – namun, penggunaannya adalah minima. Hal ini sekaligus membuka peluang kepada TNB untuk turut membuka penggunaan kabel optik fiber mereka kepada penyedia perkhidmatan yang lain.

Seperti biasa, segala keputusan sama ada pihak Tenaga Nasional memasuki arena penyedia pembekal jalur-lebar ini atau sebaliknya adalah tertakluk kepada keputusan pihak TNB sendiri.

Komen