Cari @ Amanz

Sebagai rakyat Malaysia, kami gembira apabila kerajaan menyatakan komitmen untuk menangani isu pemanasan global (global warming). Melalui Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang diterajui oleh Yeo Bee Yin, satu majlis akan dibentuk untuk menggubal polisi untuk menangani isu pemanasan global.

Namun begitu, kita juga harus berdiri berpaksikan data dan realiti. Satu laporan telah diterbitkan oleh agensi National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA, Amerika Syarikat) hadir dengan berita yang menggerunkan. Menurut laporan yang berjudul State of the Climate in 2017 (pautan di sini, muat-turun 118 MB), tahun 2017 merupakan antara tahun yang paling panas berdasarkan kepada rekod cuaca dunia yang bermula sejak pertengahan abad 1800an.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “tahun paling panas”? Bukankah mutakhir ini peningkatan suhu merupakan berita yang tidak asing lagi? Bagi mendalami dengan lebih lanjut, kami ingin berkongsi intipati laporan tersebut secara ringkas.

El Nino. Sebelum ini, peningkatan iklim lazimnya mempunyai kaitan dengan fenomena alam yang dikenali sebagai El Nino yang berlaku di Lautan Pasifik sekitar bulan November–Mac. Jaluran air laut yang suam ini mempengaruhi cuaca di hemisfera utara, menyebabkan musim sejuk di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada tidak sesejuk seperti tahun-tahun sebelumnya. Jika bumi mengalami fasa El Nino yang panjang, maka bumi kita mengalami cuaca panas yang lebih ketara. Walaupun tahun 2017 merupakan tahun yang panas, tetapi pengaruh fenomena El Nino bukanlah penyebab utama. Dalam erti kata lain, cuaca yang panas pada tahun lepas tidak mempunyai hubungkait yang kukuh dengan fenomena El Nino.

Gas Rumah Hijau. Tahun 2016 merupakan antara detik yang terburuk dalam sejarah peradaban manusia apabila kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera telah melepasi paras 400 PPM (parts per million). Apakah yang tersirat di sebalik nombor ini? Kepekatan gas karbon dioksida sebelum era revolusi perindustrian (sebelum 1750) berada pada paras 280 PPM. Para pengkaji tidak mempunyai gambaran yang jelas dan tepat akan apa yang bakal berlaku setelah kita melepasi paras 400 PPM, tetapi mereka meramalkan bahawa (1) ketumpatan karbon dioksida tidak akan turun lagi pada masa akan datang, (2) purata suhu global akan terus meningkat, dan (3) paras air laut akan terus meningkat.

Peningkatan Suhu. Apabila kita berbincang mengenai peningkatan suhu, perlu kita tahu bahawa para pengkaji melakukan sukatan pada beberapa jenis kawasan yang berbeza. Antara kawasan-kawasan tersebut ialah suhu permukaan laut, suhu permukaan darat, suhu troposfera iaitu lapisan langit di mana kebanyakan awan terbentuk, dan lain-lain lagi. Sukatan suhu yang dilakukan di semua kawasan ini untuk tahun 2017 menunjukkan trend yang membimbangkan iaitu kesemua bacaan berada pada paras yang tinggi.

Paras Air Laut dan Lembaran Ais Yang Menyusut. Peningkatan suhu global hadir bersama dengan satu lagi ancaman: lembaran ais yang kian lama kian menyusut di kutub utara dan kutub selatan. Walaupun peningkatan suhu di kutub utara bukanlah yang tertinggi pada tahun 2017, namun begitu lembaran ais terus menyusut, lalu menyebabkan paras air laut dunia meningkat. Sehingga tahun 2017, peningkatan paras air berlaku enam tahun berturut-turut dengan purata peningkatan sebanyak 3.1 cm sedekad. Nilai ini mungkin nampak kecil, tetapi kita harus ingat bahawa 70% peratus permukaan bumi diliputi air. Peningkatan 1 cm pun merupakan peningkatan yang ketara.

Fenomena Alam Yang Ekstrim. Tidak syak lagi fenomena-fenomena yang dinyatakan di atas mengakibatkan pelbagai fenomena alam yang ekstrim. Sebagai contoh, 30% kawasan Bangladesh mengalami banjir sekitar September pada tahun 2017 ketika mana umat Islam bersedia untuk menyambut perayaan Aidil Adha. Namun, bukan haiwan ternakan yang terkorban akan tetapi rumah dan harta tergadai dek kerakusan banjir yang melanda yang turut menjejaskan negara India dan Nepal pada masa yang sama.

Saban hari, berita mengenai perubahan iklim dunia menjadi kerap seakan-akan ia merupakan sarapan harian kita. Jika kita sudah tidak lagi sensitif dengan perubahan iklim dunia, maka kita tidak akan dapat melakukan perubahan untuk menyelamatkan satu-satunya planet tempat tinggal kita. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita harus tahu apakah langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk menyedarkan sesama kita akan bencana yang bakal berlaku sekiranya kita memandang enteng akan hal ini.

Kepada kerajaan Malaysia, kami ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang sedang dirancang untuk menangani isu ini. Adakah kita bakal melihat kerajaan akan lebih serius untuk menambah-baik sektor pengangkutan awam untuk mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya bagi mengurangkan pengeluaran asap, atau membentangkan dasar supaya bangunan-bangunan komersial dibina dengan teknologi hijau dan mesra alam? Pokok pangkalnya, kami ingin melihat kerajaan lebih serius dalam menangani isu ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd