Cari @ Amanz

Xiaomi Redmi 6A
Skrin 5.45″ IPS LCD
1440×720, 295 ppi
Chipset MediaTek Helio A22
CPU 4 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU PowerVR Rogue GE8320
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 13MP, f/2.2, 1080p@30fps
Kamera Hadapan 5MP, f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM + microSD
Sistem Android 8.1 Oreo + MIUI 9.6
Bateri 3000 mAh
Berat & Ketebalan 145g, 8.3mm
Tempoh Ujian
Peranti
1 minggu

Xiaomi sebelum ini pernah hadir dengan Redmi 5A, iaitu peranti kelas asas yang membawakan penawaran peranti seimbang. Peranti ini hadir dengan penggunaan skrin HD, cip empat-teras, dan memori 2GB RAM pada harga di bawah RM400, membuatkan model Redmi A ini sangat digemari atas penawarannya yang berpatutan. Buktinya, Redmi 5A telah berjaya menjadi antara 10 peranti yang mencatatkan jualan tertinggi pada suku pertama 2018 menurut Counterpoint Research.

Setelah hampir 10 bulan berada di pasaran, Xiaomi kini telah hadir dengan Redmi 6A iaitu model pembaharuan bagi Redmi 5A ini dengan menawarkan sejumlah fungsi dan rekaan trend terkini. Ia hadir dengan nisbah skrin moden 18:9, cip pemprosesan 12nm yang lebih efisien, dan menawarkan keupayaan imbasan wajah untuk sokongan menyahkunci peranti. Ia juga dikatakan telah membawa peningkatan dari segi kamera, selain kini dijana dengan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo bersama antaramuka MIUI 9.6.

Dengan penawaran harga RM399, spesifikasi dan fungsi yang didatangkan pada Xiaomi Redmi 6A ini dilihat menarik, namun bolehkah ia memberi pengalaman peranti yang memuaskan?

Rekabentuk

Xiaomi Redmi 6A didatangkan dengan spesifikasi kelas permulaan seperti kehadiran skrin 5.45-inci pada resolusi HD+ dengan nisbah 18:9, cip 12nm MediaTek Helio A22, memori 2GB RAM, dan storan dalaman 16GB bersama sokongan microSD. Ia juga dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Bluetooth 4.2, sokongan panggilan VoLTE, bersama kapasiti bateri 3000 mAh.

Dari segi binaannya, Xiaomi Redmi 6A mengekalkan bahan binaan belakang yang sama seperti Redmi 5A, melalui binaan berasaskan plastik. Memegang peranti ini masih terasa kompak walaupun skrinnya lebih besar berbanding Redmi 5A, yang mana dijayakan dengan penggunaan panel bingkai nipis dan penggunaan nisbah yang lebih memanjang ke atas. Binaan plastik ini yang menariknya kurang memerangkap kesan cap jari, jadi pengguna tidak perlu risau atas penampakan kotoran pada binaan peranti. Namun seperti Redmi 5A sebelum ini, Xioami tidak mendatangkan dengan sebarang silicon case bagi memberi perlindungan ekstra kepada peranti ini.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim dan kad microSD berasingan ditempatkan pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti, ia menempatkan sambungan earphone jack, namun kini tidak lagi menawarkan IR blaster untuk membolehkan peranti ini sebagai alat kawalan jauh. Di bahagian bawah, ia hanya menempatkan sambungan micro-USB bagi kebolehan penyambungan data dan pengecasan.

Pada bahagian belakangnya, ia menampilkan binaan kamera dan flash yang disatukan dalam satu bingkai secara melintang, seolah-olah memberi penampakan peranti dengan rekaan dwi-kamera. Ia tidak menampilkan sebarang pengimbas cap jari, namun Xiaomi telah menawarkan fungsi imbasan wajah untuk sokongan menyahkunci peranti. Prestasinya tidak begitu pantas apabila dibandingkan dengan pesaingnya, namun ia amat memudahkan pengguna daripada memasukkan passcode atau pattern ketika mengakses peranti.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 5.45-inci, dengan resolusi HD+ pada nisbah 18:9. Dengan penggunaan nisbah ini, ia membolehkan skrin memaparkan lebih banyak kandungan terutama ketika melayari laman web atau aplikasi media sosial. Kualiti paparannya dilihat memberi hasilan yang baik, yang mana dibantu melalui penggunaan panel IPS LCD bersama penggunaan resolusi HD+.

Dari segi variasi, Xiaomi Redmi 6A hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 2GB RAM + 16GB. Storan dalaman 16GB ini sangat kecil untuk penggunaan hari ini dan sangat disarankan untuk anda mendapatkan kad microSD untuk menambah keluasan storan ini. Model ini telah ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Blue dan Gold, yang mana anda boleh memilihnya sewaktu membuat pembelian peranti.

Sistem

Xiaomi Redmi 6A dijana dengan antaramuka MIUI 9.6, yang dibina berasaskan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo. Antaramuka ini masih kelihatan ceria seperti yang anda lihat pada peranti Xiaomi yang lain, yang mana turut menyajikan sejumlah pilihan tema yang dimuat-turun. Paparan homescreen-nya juga masih menampilkan paparan berasaskan aplikasi, tanpa sokongan app drawer untuk menyorokkan aplikasi-aplikasi ini.

Xiaomi juga turut mendatangkan beberapa aplikasi mereka sendiri pada antaramuka ini, seperti Mi Drop untuk penghantaran fail pantas, dan screen recorder terbina untuk memudahkan anda mengambil rakaman skrin. Aplikasi-aplikasi asas seperti Gallery, Weather, FM Radio, dan File Manager turut tersedia, sekaligus memudahkan anda menggunakan sejumlah aplikasi ini secara terus tanpa perlu memuat-turun aplikasi tambahan.

MIUI 9.6 ini turut menyertakan sejumlah fungsi tambahan yang lain, seperti sokongan one-handed untuk kawalan peranti melalui satu tangan, dan sokongan App Lock untuk kebolehan membuka dan mengunci aplikasi melalui penggunaan pattern. Seperti peranti Xiaomi dengan rekaan skrin penuh yang lain, peranti ini turut memberi kawalan Full Screen Gesture, yang membolehkan anda mendapatkan kawalan peranti seumpama iPhone X.

Prestasi

Xiaomi Redmi 6A dijana dengan cip kelas permulaan terbaru daripada MediaTek Helio A series, menerusi cip Helio A22 bersama memori 2GB RAM. Cip ini membawakan rekaan cip empat-teras, menerusi 4 x Cortex-A53 2.0 GHz bersama padanan GPU PowerVR Rogue GE8320. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, ia berjaya mencatatkan mata sekitar 61,666, yang mana agak tinggi berbanding cip Snapdragon 425 (cip yang digunakan pada Redmi 5A & ZenFone Live L1) dengan mata sekitar 41,856. Secara kasarnya, prestasi cip ini berada di antara cip Snapdragon 435 dan Snapdragon 450.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu memberi prestasi harian yang lancar terutama untuk kegunaan aplikasi permesejan, pelayaran web, dan penggunaan aplikasi media sosial. Untuk permainan pula, sejumlah permainan seperti Standoff 2 dan Guns of Boom dapat dimainkan dengan prestasi yang selesa, namun PUBG Mobile terdapat isu frame rate yang rendah walaupun ditetapkan pada tetapan grafik asas. Menariknya, ia kurang memberi pengeluaran haba yang panas walaupun menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang lama.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Xiaomi Redmi 6A membawakan fungsi penggambaran asas, dengan menampilkan kamera 13MP pada bahagian belakang, dengan sokongan LED flash dan sistem pemfokusan PDAF. Dengan penyertaan cip Helio A22, pihak MediaTek mengatakan cip ini membantu untuk memberi keupayaan low-light yang lebih baik, selain membolehkan hasilan bokeh dibuat pada sistem satu kamera melalui sokongan artificial intelligence (AI).

Untuk kegunaan di dunia sebenar, hasil gambarnya dilihat membawa peningkatan yang besar berbanding Xiaomi Redmi 5A, yang mana ia kurang memberi kesan noise apabila digunakan pada situasi kurang cahaya. Ia juga sering memberi hasilan yang terang, disamping menawarkan dynamic range yang cukup memuaskan apabila dibandingkan dengan peranti sekelasnya.

Kamera hadapan dengan sensor 5MP-nya juga kini menerima penambahbaikan, yang mana hasilan selfienya hadir dengan warna yang lebih menarik. Apa yang menarik lagi, ia turut membolehkan pengguna menggunakan fungsi Portrait Mode bagi membolehkan kesan blur dihasilkan bahagian belakang wajah.

Dari segi rakaman video, Xiaomi turut melengkapkan peranti ini dengan sokongan penstabilan imej EIS pada resolusi Full HD, yang mana ia jarang didatangkan pada peranti kelas asas seperti ini. Untuk contoh rakamannya, anda boleh rujuk pada minit 4:15-4:26 melalui video ulasan yang disertakan pada artikel ini.

Bateri

Xiaomi Redmi 6A masih menawarkan kapasiti bateri yang sama seperti Redmi 5A sebelum ini, dengan penawaran kapasiti 3000 mAh. Namun dengan penggunaan cip 12nm melalui cip MediaTek Helio A22 ini, ia dilihat memberi bacaan bateri yang sangat baik apabila dibanding dengan cip 28nm Snapdragon 425 pada Redmi 5A.

Dengan kapasiti 3000 mAh dan padanan cip 12nm ini, Redmi 6A berjaya mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 5 jam 21 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Namun pengecasannya sedikit lama atas ketiadaan fungsi pengecasan pantas, yang mana memerlukan masa sekitar 2 jam 50 minit untuk mengecas peranti ini sehingga penuh.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Xiaomi Redmi 6A menawarkan sebuah peranti asas yang menepati fungsi dan penggunaan hari ini, seperti kehadiran skrin dengan rekaan penuh, penggunaan cip 12nm, sokongan imbasan wajah, dan penggunaan sistem operasi terkini.

Sekiranya anda mempunyai Redmi 5A, Redmi 6A ini akan menawarkan lima pembaharuan baru seperti:

  • Paparan yang lebih besar (5.45” vs 5.0”) melalui rekaan skrin bingkai nipis dan penggunaan nisbah moden.
  • Cip MediaTek Helio A22 yang lebih pantas dan lebih efisien melalui binaan 12nm (vs 28nm pada Snapdragon 425).
  • Keupayaan kamera yang lebih baik terutama pada penggambaran kurang cahaya (dengan fungsi bonus Portrait Mode untuk kamera hadapan).
  • Antaramuka MIUI yang dijana dengan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo.
  • Sokongan menyahkunci peranti menggunakan wajah.

Namun satu fungsi yang telah dikurangkan adalah, ia tidak lagi menawarkan IR blaster iaitu fungsi yang menjadikan peranti ini sebagai alat kawalan jauh.

Selain itu, ia juga tidak disyorkan kepada power user atau golongan yang mengutamakan aspek gaming, atas penggunaan cip empat-teras dan memori 2GB RAM. Sekiranya anda mahukan sebuah peranti yang lebih lancar untuk keperluan intensif, saya lebih menyarankan untuk anda mendapatkan Xiaomi Redmi 6 atas penggunaan cip lapan-teras bersama memori 3GB RAM.

Pro
  • Hadir dengan nisbah skrin moden 18:9.
  • Kualiti skrin yang sangat baik atas penggunaan panel IPS LCD dan resolusi HD+.
  • Menawarkan prestasi harian yang lancar untuk penggunaan asas.
  • Keupayaan kamera belakang dan hadapan yang impresif untuk harganya.
  • Menyajikan ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 5 jam 21 minit.
  • Didatangkan dengan fungsi ekstra seperti App Lock untuk sokongan mengunci dan membuka aplikasi melalui penggunaan pattern.
  • Mempunyai slot dwi-sim dan slot kad microSD secara berasingan.
  • MIUI 9.6 dijalankan berasaskan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo.
Kontra
  • Tidak didatangkan dengan IR blaster.
  • Kelancaran fungsi imbasan wajah masih terasa lambat.
  • Prestasi permainan intensif seperti PUBG Mobile masih memberi frame rate yang rendah dan tidak sekata.

Tetapi dengan harga RM349, Redmi 6A sangat memenuhi keperluan asas pada hari ini, yang mana sangat sesuai disyorkan untuk pengguna yang baru melangkah ke dunia telefon pintar atau yang memerlukan peranti kedua. Ia mampu menggalas sejumlah penggunaan asas anda, seperti penggunaan permesejan, melayari laman web, atau untuk penggunaan aplikasi media sosial. Bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan pakej peranti yang seimbang dan menepati trend masa kini, membuatkan peranti ini salah satu peranti yang berbaloi dibeli untuk harga di bawah RM400.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd