Telefon Terbaik Di Bawah RM1500 (Pertengahan 2018)

Telefon Terbaik Di Bawah RM1500 (Pertengahan 2018)

Diterbitkan pada Ogos 5, 2018 oleh .

Bagi anda yang sedang mencari peranti baru, di sini kami ingin membantu anda untuk membuat pilihan peranti terbaik yang anda boleh miliki pada bajet tertentu. Sebelum ini, kami telah menyenaraikan telefon terbaik pertengahan 2018 di bawah RM500, di bawah RM750, di bawah RM1000, dan kini tiba giliran peranti di bawah RM1500.

Untuk segmen RM1500, peranti yang disenaraikan selalunya terdiri daripada peranti kelas pertengahan yang memfokuskan kepada ciri-ciri lifestyle. Jadi anda akan dapati, telefon di dalam harga ini akan lebih mengutamakan keupayaan kamera yang baik, rekaan yang menarik, dan menawarkan penggunaan bateri sepanjang hari.

Kami telah memilih beberapa peranti yang berbaloi dimiliki pada harga ini, yang mana dinilai berdasarkan peranti yang mampu memberikan pengalaman penggunaan terbaik.

Kriteria Pemilihan

  • Penawaran memori minimum 4GB RAM.
  • Hadir dengan cip pemprosesan yang mampu mencatatkan mata minumum 100,000 markah melalui AnTuTu Benchmark.
  • Menawarkan resolusi skrin Full HD+.
  • Hadir dengan rekaan skrin bingkai nipis.
  • Menjalankan Android 8.0 Oreo dan ke atas.

Selain itu, kesemua telefon yang dipilih di dalam artikel ini adalah berdasarkan harga rasmi daripada pengeluar dan bukannya mengikut harga yang diolah oleh kedai. Jadi tanpa membuang masa lagi, berikut adalah senarai telefon terbaik pertengahan 2018 yang anda boleh dapat di bawah RM1500.


04

OPPO F7

OPPO F7 membawakan sebuah peranti yang cukup elegan menerusi rekaan dengan kemasan glossy pada bahagian belakang. Sebagai sebuah peranti lifestyle, ia menyajikan keupayaan kamera hadapan dan belakang dengan yang mengagumkan, hasil daripada bantuan daripada artificial intelligent (AI). Ia juga menawarkan paparan LTPS LCD yang menawan berbanding IPS LCD, selain menampilkan cip kelas pertengahan premium Helio P60 untuk prestasi harian dan gaming yang pantas.

Cuma kekurangan pada peranti ini, rekaannya walaupun hadir dengan kemasan glossy yang menarik, ia sebenarnya diperbuat daripada plastik. Walaupun AI pada kameranya mampu memberi dynamic range yang hebat, namun kemasan bokehnya masih lagi kurang sempurna atas ketiadaan sokongan dwi-kamera. Tetapi perkara yang mungkin sedikit mengecewakan, ia masih menggunakan sambungan lama micro-USB berbanding USB-C, sekaligus ia tidak dapat memanfaatkan penggunaan kabel yang boleh diguna pada mana-mana arah.

Spesifikasi:

  • 6.23” LTPS LCD FHD+ 19:9
  • MediaTek Helio P60
  • 4 x A73 2.0 GHz, 4 x A53 2.0 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + microSD
  • 16MP f/1.8 / 25MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3400 mAh, micro-USB
  • Android 8.1 / ColorOS 5.0

Harga: RM1099 (4GB RAM + 64GB)


03

Huawei nova 3i

Huawei nova 3i adalah model pembaharuan daripada Huawei nova 2i, dengan rekaan yang lebih menarik bersama cip dan keupayaan kamera yang ditambahbaik. Ia kini menyajikan binaan premium pada bahagian belakang, hadir dengan cip pemprosesan baru menerusi HiSilicon Kirin 710, dan menyajikan penggambaran yang lebih tajam dan lebih mesra low-light. Seperti Huawei nova 3e, ia juga kini didatangkan dengan storan sebesar 128GB yang mana boleh dipertingkatkan melalui storan microSD.

Cuma kekurangan pada peranti ini, ia juga masih bergantung kepada penggunaan micro-USB seperti OPPO F7, walaupun peranti sekelasnya sudah pun mula menggunakan sambungan berasaskan USB-C. Ia juga tidak menawarkan fungsi pengecasan pantas, sekaligus tidak memanfaatkan masa pengecasan peranti yang lebih singkat. Untuk keupayaan WiFi, ia juga tidak menampilkan sebarang sokongan WiFi dual-band, bagi membolehkan peranti ini disambungkan ke sambungan WiFi 5GHz yang lebih pantas.

Spesifikasi:

  • 6.3” IPS LCD FHD+ 19.5:9
  • HiSilicon Kirin 710
  • 4 x A73 2.2 GHz, 4 x A53 1.7 GHz
  • 4GB RAM / 128GB + microSD
  • 16MP f/2.2 + 2MP / 24MP + 2MP
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 3340 mAh, micro-USB
  • Android 8.1 / EMUI 8.2

Harga: RM1249 (4GB RAM + 128GB)


02

Xiaomi Mi A2

Xiaomi Mi A2 telah menyertakan penaiktarafan prestasi dan sejumlah fungsi terkini berbanding Xiaomi Mi A1. Ia kini hadir dengan penggunaan nisbah moden 18:9, cip Snapdragon 660 dengan penawaran dua kali ganda lebih pantas, dan storan dalaman yang mencapai 128GB. Keupayaan kameranya juga telah dinaiktaraf, yang kini lebih mesra untuk penggunaan low-light, hadir dengan sokongan AI, selain menampilkan penstabilan imej EIS pada rakaman video. Ia juga menikmati Android One seperti Mi A1, iaitu program dengan penawaran antaramuka Android asli bersama sokongan kemaskini yang lebih pantas.

Cuma kekurangan pada peranti ini, ia tidak lagi menampilkan earphone jack, sekaligus memerlukan anda bergantung kepada penggunaan adapter USB-C ke 3.5mm. Ia juga tidak lagi menawarkan slot kad microSD, disamping hanya mendatangkan kapasiti bateri 3010 mAh.

Spesifikasi:

  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 660
  • 4 x Kyro 260 2.2 GHz, 4 x Kyro 260 1.8 GHz
  • 6GB RAM / 128GB
  • 12MP f/1.8 + 20MP f/1.8 / 20MP
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 3010 mAh, USB-C, Quick Charge 3.0
  • Android 8.1 Oreo / Android One

Harga: RM1199 (4GB RAM + 128GB)


01

ASUS ZenFone 5 (2018)

ASUS ZenFone 5 (2018) menduduki tempat pertama di dalam senarai ini kerana ia memberi penawaran fungsi dan spesifikasi paling seimbang berbanding peranti di atas. Ia menyajikan rekaan yang cukup menawan melalui binaan berasaskan kaca, hadir dengan cip Snapdragon 636 dengan pengoptimasian AI boost (untuk mendapatkan prestasi seumpama Snapdragon 660), dan menyokong piawaian warna DCI-P3 pada skrin peranti ini.

Pada fungsi penggambarannya, ia juga menampilkan penggambaran wide-angle menerusi sensor kedua, hadir dengan fungsi pengoptimasian AI untuk hasilan dynamic range yang lebih seimbang, dan satu-satunya peranti dalam senarai ini yang menyokong sistem penstabilan imej OIS. Bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan fungsi ekstra yang tiada pada peranti saingannya, iaitu sokongan NFC dan pembesar suara stereo.

Spesifikasi:

  • 6.2” IPS LCD FHD+ 19:9, DCI-P3
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • 8 x Kyro 260 1.8 GHz
  • 4GB RAM / 64GB + microSD
  • 12MP f/1.8 OIS + 8MP f/2.0 / 8MP
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, NFC
  • 3300 mAh, USB-C, menyokong pengecasan 18W
  • Android 8.0 / ZenUI 5.0

Harga: RM1299 (4GB RAM + 64GB)


Jadi itulah peranti terbaik pertengahan 2018 yang anda boleh dapati di bawah RM1500. Kesemua peranti yang disenaraikan di atas boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama Malaysia seperti Lelong, Lazada, Shopee, 11street.


TIPS & ULASAN