AMD memperkenalkan siri CPU HEDT (High End Desktop) terbaru mereka, AMD Ryzen Threadripper 2 sewaktu acara Computex di Taipei beberapa bulan yang lalu. CPU ini merupakan pengganti kepada siri CPU AMD Threadripper yang cukup terkenal untuk jumlah teras fizikalnya yang tinggi dan prestasinya yang mengagumkan.
Sewaktu acara pengumuman tersebut, tidak banyak butiran yang diumumkan mengenai siri CPU tersebut, kecuali bahawa salah satu daripadanya hadir dengan sejumlah besar teras: sebanyak 32 teras fizikal dan 64 bebenang kuasa.
AMD kini akhirnya sudahpun hadir dengan butiran mengenai siri CPU ini, dan syarikat tersebut nampaknya bakal hadir dengan empat model CPU AMD Threadripper 2 tersebut, termasuklah AMD Ryzen Threadripper 2990WX, AMD Ryzen Threadripper 2970X, AMD Ryzen Threadripper 2950X dan AMD Ryzen Threadripper 2920X.
Model | Teras / Bebenang | Frekuensi Boost /Asas (GHZ) | L3 (MB) | TDP (WATT) | PCIe® Gen 3.0 LANES | Harga (USD) | Ketersediaan |
AMD Ryzen Threadripper 2990WX | 32/64 | 4.2/3.0 | 64 | 250W | 64 | $1,799 | Ogos 13, 2018 |
AMD Ryzen Threadripper 2970WX | 24/48 | 4.2/3.0 | 64 | 250W | 64 | $1,299 | Oktober 2018 |
AMD Ryzen Threadripper 2950X | 16/32 | 4.4/3.5 | 32 | 180W | 64 | $899 | Ogos. 31, 2018 |
AMD Ryzen Threadripper 2920X | 12/24 | 4.3/3.5 | 32 | 180W | 64 | $649 | Oktober 2018 |
Dua daripada CPU-CPU ini, Threadripper 2990WX dan Threadripper 2970WX hadir dengan nama model yang sedikit berbeza daripada sebelum ini, untuk menandakan bahawa CPU tersebut lebih sesuai untuk digunakan oleh pelakar grafik dan profesional yang menggunakan komputer jenis workstation untuk tugasan harian mereka, terutamanya untuk kerja-kerja yang memerlukan kebolehan pemprosesan CPU yang tinggi.
Bagi mereka yang sudahpun mempunyai sebuah sistem AMD Threadripper, dan hanya ingin menambahbaik prestasi CPU, cip pemprosesan Threadripper generasi kedua ini juga menyokong papan induk X399 yang menggunakan soket TR4 yang digunakan oleh CPU Threadripper generasi pertama.
Untuk pasaran Malaysia, terdapat kemungkinan besar bahawa CPU-CPU ini akan mula dijual di pasaran tempatan di sekitar waktu yang sama dengan pelancaran di seluruh dunia.