Adakah Samsung Galaxy Note 8 Masih Berbaloi?

Adakah Samsung Galaxy Note 8 Masih Berbaloi?

Diterbitkan pada Ogos 9, 2018 oleh .

Samsung Galaxy Note 9 akan dilancarkan pada 9 Ogos ini. Tahun demi tahun kami akan menerima pertanyaan yang sama iaitu “adakah model tahun lepas masih berbaloi untuk dibeli?”. Kami menyedari selama ini tiada siri artikel yang boleh dirujuk oleh pembaca Amanz untuk mendapatkan jawapan ini? Oleh itu ini adalah artikel pertama di dalam siri adakah masih berbaloi. Hari ini kami akan cuba membincangkan sama ada Samsung Galaxy Note 8 masih berbaloi dimiliki.

Pemproses Dan RAM

Spesifikasi penuh Galaxy Note 9 masih belum diketahui tetapi kita boleh mengagak ia tidak jauh berbeza berbanding S9+ kerana ini ialah modus operandi Samsung sejak Note pertama dilancarkan lapan tahun yang lalu. Oleh itu S9+ boleh dijadikan kayu pengukur kemampuan Galaxy Note 9 berbanding Galaxy Note 8.

Melalui ujian penanda aras yang telah dilakukan pada S9+, Note 9 mungkin 30% lebih berkuasa berbanding Galaxy Note 8. Saiz RAM juga mungkin masih lagi sebesar 6GB untuk peranti yang dipasarkan di Malaysia kelak. Jadi sekiranya anda tidak merasakan hanya mempunyai 70% kemampuan memproses Galaxy Note 9, Galaxy Note 8 ialah peranti yang masih lagi berkuasa. Galaxy Note 8 juga mempunyai kemampuan memproses yang setanding dengan Mate 10 Pro dan P20 Pro.

RAM sebesar 6GB mungkin dianggap besar tahun lalu tetapi di pasaran sekarang peranti dengan 8GB RAM sudah boleh dimiliki dengan mudah seperti pada Vivo NEX, Oppo Find X dan OnePlus 6. Saiz RAM yang besar membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan tanpa perlu menjalani proses segar semula. Bagi mereka yang memerlukan kemampuan multi-tugas yang baik, saiz RAM yang besar ini adalah suatu kelebihan.

Secara peribadi selepas menggunakan Galaxy Note 8 selama hampir setahun ia masih lagi berfungsi dengan lancar. Jika diletakkan secara sebelah menyebelah, tiada perbezaan di antara kelancaran Note 8 dan S9+. Tiada masalah sela masa walaupun peranti sudah “berusia”.

Skrin

Peranti di bawah keluarga Galaxy Note pernah suatu ketika mempunyai skrin terbesar di pasaran tahun demi tahun. Tahun lalu Galaxy Note 8 dilengkapi skrin 6.3″ SAMOLED QHD+ HDR. Tetapi sejak pengenalan peranti dengan rekaan nirbingkai, takhta peranti dengan skrin terbesar kini dipegang oleh Honor Note 10 dengan skrin sebesar 6.95″ nirtakuk. Ini adalah jauh lebih besar berbanding Galaxy Note 8 yang mempunyai skrin 6.3″. Oppo Find X dan Vivo NEX masing-masing dilengkapi skrin 6.42″ dan 6.49″ yang juga lebih besar cuma bertakuk.

Galaxy Note pernah menjadi pilihan kerana skrinnya yang besar membuatkannya cocok digunakan untuk menonton video dan menjalankan permua. Tetapi kini di pasaran sudah terdapat peranti lain dengan skrin yang lebih besar. Ketiga-tiga Honor Note 10, Oppo Find X dan Vivo NEX dilengkapi skrin OLED sekaligus membuatkan tiada kelebihan pada Note 8 dari segi teknologi skrin.

Kelebihan terletak pada resolusi QHD+ sahaja kerana ketiga-tiga peranti yang disenaraikan di atas hanya menyokong resolusi FHD+.

Kamera

Note 8 ialah peranti mercu pertama Samsung dengan sistem dwi-kamera dan zoom optikal. Sensor sebesar 12+12 Megapixel digunakan pada bahagian belakang dan 8-Megapixel pada bahagian hadapan. Selepas setahun kemampuan kamera Galaxy Note 8 telah dipintas peranti seperti Galaxy S9 dan P20 Pro.

P20 Pro mempunyai kelebihan kerana sistem tri-kamera dengan saiz sensor lebih besar serta kemampuan rakaman waktu malam yang terbaik tahun ini. Ia turut menggunakan kecerdasan buatan yang memastikan tetapan kamera bersesuaian dengan imej yang ingin diambil.

Walaupun telah dipintas, kemampuan kamera  Galaxy Note 8 pada hemat kami masih lagi baik jika dibandingkan dengan majoriti peranti mercu dan pertengahan di pasaran sekarang. Sokongan zoom optikal sehingga 2X memberikannya kelebihan berbanding Oppo Find X, Honor Play, Honor Note 10 dan Vivo NEX.

Fungsi Tambahan

Walaupun kesemua peranti di dalam artikel ini menggunakan Android, fungsi yang diberikan semua sama. Galaxy Note 8 mempunyai keunikan sebagai satu-satunya peranti dengan stylus terbina di pasaran buat masa ini. Stylus ini boleh digunakan untuk menulis nota, melakar lukisan, menghantar mesej dalam bentuk GIF beranimasi dan menghasilkan GIF beranimasi dari video yang terpapar pada skrin.

Pada waktu yang sama ia turut mempunyai ketahanan kalis air IP68, sistem desktop DeX, nyahkunci menggunakan wajah/anak mata dan sokongan pengecasan tanpa wayar. Hanya Galaxy S9+ mempunyai kesemua fungsi di atas kecuali sokongan stylus terbina.

Huawei P20 Pro mempunyai mod desktop Easy Projection, kemampuan kalis air IP67. Vivo NEX, Honor Play, OnePlus 6 dan Oppo Find X ketiga-tiga tidak diiklankan mempunyai kemampuan kalis air.

Kepelbagaian fungsi tambahan Galaxy Note 8 ialah satu kelebihan yang nampaknya masih belum mampu ditandingi peranti lain yang berada di pasaran sekarang.

Harga

Harga jualan rasmi Galaxy Note 8 kini adalah RM3769 sebuah. Harga ini pasti dikemaskini selepas Galaxy Note 9 memasuki pasaran tempatan. Harga jualan peranti pesaing yang kami sebutkan di dalam artikel ini adalah seperti di bawah

  • Samsung Galaxy Note 8 – 6GB/64GB – RM3679
  • Samsung Galaxy S9+ – 6GB/64GB – RM3579
  • Huawei P20 Pro – 6GB/128GB – RM2899
  • Honor Play – 4GB/64GB – RM1249
  • Oppo Find X – 8GB/256GB – RM3699
  • OnePlus 6 – 8GB/256GB – RM3099
  • Vivo NEX – 8GB/128GB – RM2799

Jadi adalah Samsung Galaxy Note 8 masih lagi berbaloi untuk dimiliki pada waktu ini? Jawapannya bergantung kepada apa yang dimahukan oleh pengguna pada sebuah peranti? Dari segi harga terdapat peranti lain di pasaran yang dijual pada harga yang lebih mampu milik tetapi dengan pemproses serta saiz RAM yang lebih baik. Harga jualan Galaxy Note 8 pada waktu ini jelas tidak kompetitif.

Kemampuan kamera Galaxy Note 8 pula pada hemat kami hanya boleh ditandingi oleh Galaxy S9+ dan Huawei P20 Pro. Sekali lagi Galaxy Note kalah di dalam kategori ini.

Kelebihan hanya dapat dilihat dari segi skrin QHD+ dan sokongan stylus S-Pen yang tidak dapat ditandingi pada peranti-peranti yang kami senaraikan di atas. Sekiranya sokongan S-Pen ini perlu bagi anda, Galaxy Note 8 masih unggul di dalam kelasnya sehinggalah Galaxy Note 9 mula dijual.


TIPS & ULASAN