Storan SSD dapat dilihat semakin membesar dari segi kapasiti dari tahun ke tahun. Apabila storan SSD mula diperkenalkan, ia hadir dengan storan sebesar 32GB dan 64GB, cukup besar untuk memuatkan sistem operasi sahaja.
Dengan kehadiran cip V-NAND 4-bit terbaru mereka, Samsung dilihat telah mula membina storan SSD QLC SATA (Quad Level Cell) bersaiz 4TB secara besar-besaran untuk pasaran pengguna.
Setiap satu cip V-NAND 4-bit ini hadir dengan storan bersaiz 1Tb (terabit), dan dengan gabungan cip-cip ini secara bertindih, Samsung boleh membina storan SSD berkapasiti tinggi menggunakan sistem bertindih dimana setiap cip V-NAND 4-bit tersebut hadir dengan 64 lapisan NAND.
Dengan penggunaan cip ini, Samsung berkata bukan sahaja penggunaan cas elektrik berkurangan sebanyak 50 peratus, ia juga boleh mengekalkan kelajuan sambungan SATA III tanpa sebarang masalah.
Dari ujian-ujian yang dijalankan oleh Samsung, SSD QLC yang menggunakan cip V-NAND 4-bit ini hadir dengan kelajuan membaca 540MB/s dan kelajuan menulis data 520MB/s yang cukup pantas sekali untuk storan SSD yang menggunakan sambungan SATA.
Dengan rekaan ini, Samsung juga dilihat ingin membina SSD QLC dengan pilihan storan lain seperti 1TB dan 2TB juga, disamping storan SSD M.2 NVMe untuk pasaran korporat. Buat masa ini, Samsung masih belum mengumumkan lagi bilakah SSD QLC ini akan mula dijual di pasaran pengguna di seluruh dunia.