Cari @ Amanz

Bagi yang bekerja sebagai artis digital, tablet melukis merupakan satu peranti yang sangat diperlukan oleh golongan ini. Jika dahulu para artis melakukan kerja mereka secara manual dengan hanya menggunakan pen dan kertas, namun pada abad ini, teknologi tablet melukis semakin mendapat nama dan menjadi pilihan golongan artis digital untuk memudahkan mereka menghasilkan kerja seni mereka dengan mudah dan cepat.

Wacom merupakan satu jenama yang tidak asing untuk artis digital memilih tablet melukis, dan antara produk yang terkini daripada Wacom adalah siri Intuos yang mana ia hadir dengan dua saiz iaitu Intuos S dan Intuos M. Intuos S hadir dengan dua pilihan sambungan, iaitu Intous S dengan sambungan Bluetooth dan Intuos S tanpa sambungan Bluetooth. Intous M pula hadir dengan satu pilihan sambungan sahaja, iaitu Intous M dengan sokongan Bluetooth. Untuk ulasan kali ini, saya akan mengulas mengenai Intous S dengan sambungan Bluetooth keluaran Wacom.

Spesifikasi

Tablet melukis Wacom Intous S yang hadir dengan sokongan Bluetooth ini dibina dengan paparan skrin sebesar 6 inci X3.7 inci yang mana bagi kami ia merupakan tablet melukis bersaiz kecil. Tablet melukis ini juga hadir dengan sokongan Wacom Pen 4K yang tidak menggunakan bateri dan tablet ini merupakan tablet yang sensitif terhadap daya tekanan sehingga 4096 tahap sensitiviti. Tablet melukis daripada Wacom ini sesuai digunakan untuk peranti yang menyokong sistem operasi daripada Windows 7 atau OS X versi 10.11 sehingga sistem operasi mereka yang terkini. Tablet melukis ini dijual pada harga RM464 dengan pilihan warna Charcoal Black dan Pistachio Green.

Reka Bentuk

Daripada pandang pertama kami, tablet melukis ini kelihatan agak kecil yang mana ukur lilitnya bersaiz 7.87X6.3X0.35 inci manakala paparan aktifnya pula bersaiz 6.0X3.7 inci. Rekaan luarannya diperbuat daripada plastik dan pada belakang tablet ini terdapat empat tapak getah yang berfungsi untuk mencengkam kemas kedudukan tablet ini. Pada bahagian atas tablet melukis ini juga terdapat 5 butang yang permukaannya melengkung dinamakan sebagai Express Keys yang mana ia berfungsi sebagai butang pintasan untuk mengawal kawalan skrin.

Terdapat 5 butang yang disusun dengan selari dan fungsi 4 daripada 5 butang ini boleh diubah dan satu lagi butang ditengah-tengahnya merupakan butang kuasa untuk menghidupkan dan mematikan peranti. Pada bahagian bawah 5 butang ini pula terdapat banyak titik-titik putih yang dipercayai hanya berfungsi untuk menandakan permukaan aktif pada atas permukaan tablet melukis ini.

Tablet melukis Wacom ini juga hadir dengan sokongan pen stylus yang dinamakan sebagai Wacom Pen 4K. Reka bentuk stylus ini direka dengan saiz yang lebih kecil berbanding pen stylus keluaran Wacom yang terdahulu. Jika dilihat secara terperinci pen ini terdapat dua bahagian yang boleh diputarkan. Pada bahagian bawahnya juga mempunyai dua butang pintasan yang mana masing-masing boleh disuaikan fungsinya mengikut kehendak pengguna.

Sensitiviti pen ini juga boleh dikawal dan dilaraskan mengikut kehendak sensitiviti yang pengguna inginkan. Apabila diputarkan, kita dapat lihat didalamnya terdapat 4 mata pen stylus dan setiap mata pena tersebut mempunyai sensitiviti sehingga 4096 tekanan.

Prestasi

Sepanjang penggunaan tablet melukis daripada Wacom ini, kami dapat katakan yang mana tablet melukis ini bagus untuk pelukis atau animator kerana ia mudah untuk digunakan dengan hanya menghidupkan fungsi Bluetooth. Namun untuk melukis dan menatal dengan tepat, kedudukan tablet ini perlu diselarikan dengan kedudukan komputer, kerana pergerakkan dan kedudukan cursor nya sedikit terganggu apabila kedudukannya tidak selari dengan komputer.

Bagi pengguna kali pertama untuk peranti ini, permukaan tablet ini boleh dikatakan agak licin sekaligus menyukarkan lakaran dibuat di atas tablet tersebut walaupun sensitiviti pen tersebut telah dilaraskan.  Butang pintasan pada pen dan tablet tersebut sedikit sebanyak telah memudahkan pengguna untuk membuat lakaran dan proses lakaran menjadi lebih cepat disiapkan.

Disebabkan tablet ini hadir dengan sokongan pen stylus berjenis 4K, setiap pergerakkan pen ini amat sensitif kerana ia dibina dengan 4096 sensitiviti tekanan. Tekanan yang banyak akan membuatkan garisan lakaran yang kecil dan gelap, manakala daya tekanan yang kurang akan menghasilkan garisan lakaran yang lebar dan cerah. Berikut merupakan lakaran yang dihasilkan dengan menggunakan Wacom Intous S.

Proses pemasangan tablet Wacom Intous S ini juga boleh dikatakan agak cepat dan mudah di mana anda hanya perlu mengikut arahan yang disediakan dan arahannya mudah untuk difahami. Di dalam tablet melukis ini telah dilengkapi dengan tiga perisian khas yang siap terbina untuk kebanyakkan pereka grafik, iaitu Corel painter Essentials 6, Celsys Clip Studio Paint Pro dan Corel AfterShot 3.

Apabila sudah selesai proses untuk setup, perisian-perisian yang sudah siap dimuat turun dalam komputer anda akan disambungkan secara automatik kepada tablet melukis ini. Anda juga boleh memilih untuk tidak menyambungkan perisian ke tablet Wacom Intous mengikut kehendak anda.

Bateri

Pada penggunaan sederhana peranti ini mampu bertahan sehingga 3 hari. Namun sekiranya sambungan Bluetooth dipasang sepanjang masa, prestasi bateri tablet ini lebih cepat habis. Untuk kegunaan ringan, tablet ini mengambil masa sekitar 15 jam untuk ianya habis digunakan. Kami mula mengecas tablet melukis ini ketika peratus baterinya pada tahap 23% dan mengambil masa selama 1 jam 50 minit untuk bateri tablet ini dicas sepenuhnya pada kadar 100%.

Untuk mengecas tablet ini, satu wayar penyambungan berjenis Micro USB telah disediakan. Untuk mengaktifkan pen stylus ini, ia tidak menggunakan sebarang bateri dan pen ini akan disambungkan secara automatik apabila tablet Wacom ini mengaktifkan fungsi Bluetooth pada peranti.

Kesimpulan

Sepanjang penggunaan kami setakat ini, tablet melukis ini boleh dikatakan sesuai untuk pereka grafik permulaan dan baik untuk membuat lakaran ringkas dan tidak kompleks. Proses untuk menetap semula Wacom ini juga amat mudah dan cepat dengan hanya mengikut arahan yang ditetapkan. Rekaannya yang minimalis dan fungsi butang pintasan pada tablet dan pen stylus juga amat membantu proses lakaran dibuat dengan cepat dan mudah.

Kehadiran tiga perisian terbina didalamnya juga merupakan satu ciri yang membuatkan pembelian tablet Wacom ini berbaloi dengan wang yang telah dibelanjakan. Buat masa ini tablet melukis Intuos S keluaran Wacom ini telah dijual pada harga RM464 di pasaran Malaysia.

PRO dan Kelebihan
  • Tablet melukis nirwayar dengan sokongan Bluetooth yang memudahkan pergerakkan tablet
  • Kecil, ringan dan mudah dibawa seperti telefon pintar
  • Sokongan Wacom Pen 4K yang sensitif sehingga 4096 tahap sensitiviti.
  • Menyokong Windows 7 atau OS X versi 10.11 sehingga versi terkini.
  • Mempunyai 1 butang kuasa dan 4 butang pintasan (Express Keys)
  • Proses pemasangan yang cepat dan mudah
  • Dilengkapi dengan tiga perisian terbina iaitu Corel painter Essentials 6, Celsys Clip Studio Paint Pro dan Corel AfterShot 3.
KONTRA dan Kekurangan
  • Permukaan yang licin dan daya tekanan yang sangat sensitif menyebabkan setiap pergerakkan yang dibuat terlakar dengan sendirinya
  • Kehabisan bateri dengan cepat sekiranya pengguna menyambungkan sokongan Bluetooth.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd