Grab telah pun mengambil-alih operasi Uber di Malaysia, dan sejak daripada itu pelbagai perubahan telah berlaku pada perkhidmatan mereka. Malah, kerajaan turut telah mengumumkan beberapa keperluan untuk perkhidmatan perkongsian kereta seperti menawarkan pengambilan komisyen 20% dan sebagainya untuk beroperasi di Malaysia.
Kini, selari dengannya, pihak Grab mengumumkan beberapa perubahan yang ditujukan kepada pemandu – selain pada masa yang sama memberikan kesan tak langsung kepada pengguna.
Melalui polisi baru yang dikeluarkan oleh Grab untuk pemandu, mereka menjanjikan akan mengambil komisen sebanyak 20% untuk pemanduan Auto Accept – sekaligus membuatkan pemandu menerima pelbagai tempahan yang ditujukan kepada mereka, dan tidak memilih. Langkah ini secara tidak langsung turut menguntungkan pengguna perkhidmatan berkenaan.
Namun, pada masa yang sama, Grab turut mengatakan mereka akan meningkatkan kadar tambang ketika waktu puncak pagi dan petang. Ia tidak diketahui lagi berapakah peratusan peningkatan yang akan dilakukan.
Kerajaan sebelum ini telah menyatakan yang mana penumpang boleh dikenakan caj maksimum sebanyak dua kali ganda sahaja untuk waktu puncak berbanding waktu biasa.
Disamping itu, Grab turut mengatakan mereka sedang melihat untuk turut memberikan pampasan sekiranya pengguna yang membuat tempahan tidak menghadirkan diri atau membatalkan pemanduan pada minit terakhir.
Kita mungkin mendengar lanjut daripada Grab berkaitan perkhidmatan mereka ini dalam minggu-minggu akan datang.
- Baca : Komitmen Grab untuk Pemandu