Xiaomi Melancarkan Hey+ – Sebuah Mi Band Dengan Skrin AMOLED
Fahim Zahar
Xiaomi Mi Band adalah gelang penjejak kesihatan pada harga mampu milik. Ia menawarkan ketahanan bateri sehingga hampir sebulan serta menggunakan skrin OLED. Terbaru, melalui laman biayasama Xiaomi YouPin – mereka melancarkan Hey+, sebuah gelang penjejak kesihatan dengan rekaan serupa Mi Band tetapi dengan skrin AMOLED.

Hey+ serupa dengan Mi Band 3 dengan variasi yang hadir dengan NFC. Cuma Hey+ hadir dengan skrin AMOLED yang berwarna dan bukannya OLED yang hanya menggunakan satu warna.
Dari poster promosi, Xiaomi turut perlihatkan pengguna boleh menukar gambar latar dengan imej tersendiri. Lain-lain ciri dan fungsi adalah sama dengan Mi Band 3 versi NFC. Contohnya adalah, selarikan dengan kad pengangkutan awam atau juga sebagai kunci digital untuk rumah atau pejabat.

Lain-lain seperti penjejak kesihatan, menjejak tapak, mengimbas nadi dan sokongan kalis air turut hadir. Beza dengan Mi Band adalah – Hey+ dilihat seolah tidak boleh ditanggal dari gelangnya kerana ia dicas sekali bersama-sama dengan gelangnya.
Harga yang ditawarkan adalah RMB229 (~RM137) sahaja. Harga yang tidak begitu jauh dari Mi Band 3 versi NFC. Xiaomi dilihat hanya tawarkan Hey+ di China kerana ciri dan fungsi ini terhad untuk pasaran lain.