Dengan pelancaran Android 9.0 Pie oleh Google tempoh hari, kini ia telah memulakan perlumbaan antara para pengeluar peranti untuk menjadi terawal untuk menawarkan kemaskini berkenaan kepada para pengguna mereka. Terkini, Huawei mengatakan telah mula menguji kemaskini berkenaan pada empat telefon pintar mereka.
Huawei mengesahkan yang mana kini mereka menguji Android 9.0 Pie pada Huawei Mate 10 Pro, Huawei P20, Honor 10 dan juga Honor V10. Buat masa ini, ujian sedang dilakukan secara dalaman di syarikat tersebut, dan kita mungkin melihat penawaran versi beta untuk umum dalam beberapa bulan lagi.
Seperti biasa, Huawei dijangka menggunakan antaramuka EMUI bersama-sama Android 9.0 Pie. Ia tidak diketahui lagi apakah ciri-ciri tambahan yang bakal dibawakan oleh Huawei bersama-sama kemaskini baru ini.
Kita mungkin mendengar lanjut mengenai Android 9.0 Pie untuk peranti Huawei dalam masa terdekat ini.