Cari @ Amanz

Siri CPU Intel generasi kesembilan Whiskey Lake untuk komputer desktop sudahpun diumumkan, dan bakal hadir di pasaran sekitar suku keempat hingga awal tahun hadapan, bergantung kepada model.

Terkini, tiga model CPU Intel Coffee Lake-U, iaitu siri CPU yang dibina khusus untuk komputer riba bersaiz nipis dan ringan juga telah diperlihatkan, dan kali ini, dua daripada model ini mempunyai beberapa perubahan yang boleh dikatakan cukup menarik sekali.

CPU-CPU yang diperkatakan termasuklah Intel Core i3-8145U, Intel Core i5-8265U dan juga Intel Core i7-8565U. Model Core i3-8145U hadir dengan dua teras fizikal dan empat bebenang kuasa, manakala kedua-dua Core i5-8265U dan Core i7-8565U pula dilengkapi dengan empat teras dan lapan bebenang kuasa.
Intel menyatakan bahawa siri CPU Whiskey Lake-U ini masih lagi tergolong di dalam siri CPU Intel generasi kelapan, dan ini dapat dilihat melalui nombor model CPU tersebut.

Binaan cip-cip ini juga dikatakan masih menggunakan proses 14nm++ yang sama digunakan pada siri CPU Kaby Lake, tetapi apa yang menarik disini ialah ketiga-tiga CPU ini dilihat hadir dengan nilai Turbo Boost yang lebih tinggi berbanding dengan siri CPU Intel Core U generasi sebelum ini.

Kelajuan asas CPU Intel Core i3-8145U ditetapkan pada 2.1GHz, dan kelajuan Turbo Boostnya pula setinggi 3.9GHz. CPU Intel Core i5-8265U pula hadir dengan kelajuan asas 1.6GHz dan kelajuan Turbo Boost 4.1GHz, manakala CPU Intel Core i7-8565U pula mempunyai kelajuan asas 1.8GHz dan kelajuan Turbo Boost yang sangat tinggi pada 4.7GHz.

Apa yang lebih menarik lagi ialah CPU-CPU ini masih dianggap sebagai cip pemprosesan voltan rendah (ULV), dan menggunakan kuasa yang cukup rendah sekali pada 15W sahaja. Walaubagaimanapun, jika anda perlukan prestasi yang lebih tinggi, jumlah tersebut boleh ditingkatkan kepada 25W dengan menggunakan skema kuasa High Performance di dalam sistem operasi Windows.

Buat masa ini, Intel masih belum mengumumkan lagi bilakah CPU Whiskey Lake-U ini akan tiba di pasaran, tetapi beberapa pembuat komputer riba seperti HP dan ASUS dikatakan bakal hadir dengan CPU-CPU tersebut tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd