Cari @ Amanz

Buat pertama kalinya Samsung Global Startup Acceleration Program (GSAP) 2018 diadakan di Pusat Belia Antarabangsa Malaysia. Program ini telah mengetengahkan 13 peserta startup yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang industri perniagaan yang berbeza.

Sepanjang program ini, para peserta telah menerima bimbingan dalam pelbagai bidang perniagaan oleh pakar industri dari Ibu Pejabat Samsung yang bertempat di Korea. Setiap pasukan startup diberi peluang untuk meletakkan idea mereka ke panel, dan akan dipilih untuk menerima sokongan lanjutan melalui inkubator tempatan selama enam bulan.

Turut berlangsung adalah majlis penganugerahan GASP, yang dimenangi oleh GoCoach dengan membawa pulang hadiah Samsung bersama wang tunai sebanyak USD3,000 (RM 12, 243). GoCoach adalah sebuah laman yang menawarkan kemudahan kepada belia untuk mencari jurulatih sukan berkemahiran dan separa kemahiran yang berada berhampiran kawasan mereka dengan kadar berpatutan.

Manakala, AiRecca  pula berada pada kedudukan kedua dengan membawa pulang hadiah beserta wang tunai sebanyak USD2,000 (RM8,161). Serba ringkas, AiRecca adalah idea platform Alat Rekaan Fabrik yang memberikan peluang kepada pereka untuk menghasilkan rekaan secara eksklusif berdasarkan tetapan ukuran badan. Ia turut menawarkan khidmat tukang jahit profesional dalam tempoh masa yang singkat kepada pereka.

Seterusnya, GiGZ pula memonopoli kedudukan ketiga dengan menerima wang tunai sebanyak USD1,000 (RM4,080). GiGz adalah platform yang dikhususkan kepada pelajar universiti yang ingin berkerja separuh masa dan membuat simpanan sampingan. Platform ini akan membuat tapisan mengikut kesesuaian dan kelayakan pelajar tersebut.

Sementara itu, hadir bersama dalam majlis penganugerahan ini adalah Dato’ Lokman Hakim Ali – Setiausaha Agung Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Roh Jae Yeol – Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia dan Dr. Mohamed Maliki Mohd Rapiee – Pengarah Pusat Belia Antarabangsa bagi menyempurnakan majlis.

Program ini secara tidak langsung memberikan cerminan bahawa startup Malaysia semakin berkembang dan menunjukkan potensi yang baik kepada semua industri perniagaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd