Cari @ Amanz

Di acara Computex Taipei beberapa bulan lalu, Cooler Master dilihat hadir dengan sebuah penyejuk CPU yang dinamakan Wraith Ripper yang digunakan untuk menyejukkan CPU AMD Ryzen Threadripper generasi kedua yang diumumkan di acara tersebut.

Baru-baru ini, Cooler Master baru sahaja mengumumkan bahawa mereka bekerjasama dengan AMD untuk menghasilkan penyejuk CPU tersebut, dan juga bakal hadir dengan penyejuk CPU cecair yang dibina khusus untuk platform Threadripper 2.

Menurut AMD, mereka mahukan sebuah penyejuk CPU udara yang mampu menampung TDP Threadripper 2 yang menggunakan tenaga sebanyak 250W tanpa sebarang masalah.

Penyejuk CPU Wraith Ripper ialah jawapan dari Cooler Master, dan mereka juga menyatakan bahawa penyejuk tersebut mampu menyejukkan CPU Threadripper tersebut 25 peratus lebih cekap daripada penyejuk-penyejuk CPU yang lain kerana rekaan plat pengaliran haba penyejuk tersebut menutup keseluruhan CPU Threadripper tersebut.

Dalam pada itu, Cooler Master turut mengumumkan bahawa tiga daripada penyejuk CPU cecair mereka, Masterliquid ML240 RGB TR4Masterliquid RGB 280 RGB TR4 dan Masterliquid RGB 360 RGB TR4 juga dibina khusus untuk menyejukkan siri CPU AMD Threadripper generasi kedua bagi mereka yang lebih gemar menggunakan penyejuk cecair.

Buat masa ini, harga untuk penyejuk-penyejuk ini belum diumumkan lagi, tetapi akan hadir pada masa yang sama siri CPU AMD Threadripper tersebut akan hadir di pasaran dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd