Cari @ Amanz

Google sering menerima perhatian ramai dalam bagaimana mereka mengumpulkan data dan sebagainya. Terkini, Google sekali lagi menerima perhatian ramai melalui laporan terbaru AP yang mengatakan Google kekal mengumpulkan data berkaitan lokasi seseorang pengguna walaupun ciri berkenaan dimatikan.

Melalui laporan yang dikeluarkan AP, ia menyentuh ciri Location History, dimana walaupun pengguna mematikan sokongan berkenaan, Google didapati kekal memantau pengguna dan mengumpulkan data lokasi seseorang pengguna.

Bagi yang mengikuti arena teknologi dan produk Google, mungkin memahami Location History ini sebagai produk berasingan – tetapi ia adalah berbeza untuk pengguna umum. Memandangkan tiada banyak tetapan berkaitan data lokasi, mungkin ramai menganggap yang mana dengan mematikan sokongan ini ia akan menghentikan pemantauan data lokasi berkaitan mereka.

Walaupun ciri berkenaan dimatikan, Google masih mengakses data lokasi pengguna pada peranti, terutamanya untuk memberikan info seperti cuaca semasa, pengalaman carian yang lebih baik, serta sokongan yang lain.

Untuk mematikan sokongan pemantauan lokasi penuh, pengguna perlu ke laman Web & App Activity yang boleh dikatakan sangat tersorok pada bahagian tetapan Google Account – dan mungkin tidak mesra pengguna umum.

Ini bukan kali pertama Google dilaporkan menghimpunkan data tanpa persetujuan pengguna. Sebelum ini, telefon Android dilaporkan menghantar data ke pelayan Google walaupun tetapan lokasi dimatikan pada peranti berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd