Presiden Erdogan Berkata Turki Akan Memboikot Jualan iPhone

Presiden Erdogan Berkata Turki Akan Memboikot Jualan iPhone

Diterbitkan pada Ogos 14, 2018 oleh .

iPhone ialah peranti mercu yang amat popular di Eropah terutamanya di kalang pengguna yang lebih berada. Ianya cukup popular sehingga dijual di pasaran gelap Iran walaupun ia diharamkan dari diimport ke negara tersebut. Di Turki, Presiden Erdogan dipetik berkata Turki akan memboikot peralatan elektronik keluaran Amerika Syarikat seperti iPhone.

Beliau menyarankan supaya rakyat membeli peranti Vestel Venus keluaran tempatan ataupun Samsung dari Korea Selatan. Apple mempunyai dua kedai rasmi dan 16% pegangan pasaran telefon pintar di Turki. Tindakan memboikot ini dilakukan selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi ke atas Turki kerana enggan melepaskan Andrew Brunson dari tahanan.

Brunson ialah seorang mubaligh Kristian yang ditahan sejak 2016 kerana dituduh terlibat dengan pergerakan Gulen yang cuba menggulingkan Erdogan. Amerika Syarikat percaya tuduhan ke atas Brunson adalah palsu dan mengarahkan beliau dibebaskan segera. Selepas arahan tidak diendahkan, tarif import yang tinggi dikenakan ke atas besi dan aluminium keluaran Turki.


TIPS & ULASAN