Samsung Galaxy Note 9 Akan Dijual Di Malaysia Mulai 24 Ogos – Harga Bermula RM3699

Samsung Galaxy Note 9 Akan Dijual Di Malaysia Mulai 24 Ogos – Harga Bermula RM3699

Diterbitkan pada Ogos 15, 2018 oleh .

Phablet mercu Samsung Galaxy Note 9 dilancarkan di Malaysia hari ini kurang seminggu selepas acara pelancaran global di New York minggu lalu. Seperti penawaran di pasaran lain dunia, dua model Galaxy Note 9 turut ditawarkan di Malaysia dengan pilihan storan 128 dan 512GB. Walaubagaimanapun di Malaysia hanya tiga warna ditawarkan iaitu Midnight Black, Metallic Copper dan Ocean Blue.

Dari segi spesifikasi Samsung Galaxy Note 9 hadir dengan skrin 6.4-inci SAMOLED QHD+ HDR, dijana pemproses Exynos 9810, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 512GB. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, terdapat sokongan kad mikroSD sehingga 512GB bagi memberikan storan terkumpul mencecah 1TB.

Kemampuan kamera pula ialah 12+12 Megapixel dengan satu lensa dilengkapi bukaan boleh ubah f/1.5 ke f/2.4. Ini ialah sistem yang sama seperti yang diperkenalkan pada Galaxy S9+ awal tahun ini. Lensa kedua f/2.4 digunakan khusus untuk zoom optikal 2X. Kedua-dua sensor ini dilengkapi sistem OIS dan pemfokusan Dual Pixel. Bergerak ke hadapan pula terdapat kamera swafoto sebesar 8-Megapixel f/1.7. Kamera utama Note 9 turut mempunyai sokongan kecerdasan buatan yang mengenali objek dan mengoptimasikan tetapan kamera untuk rakaman gambar yang terbaik.

Bateri sebesar 4000 mAh disertakan kali ini dan adalah 21% lebih besar berbanding yang digunakan pada Galaxy Note 8 tahun lalu. Terdapat sokongan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging dan pengecasan nriwaryar pantas menggunakan format Qi.

Penambahbaikan besar dilakukan pada stylus S-Pen yang kini menyokong tambatan bluetooth. Ini membolehkan S-Pen berfungsi sebagai alat kawalan jauh untuk menangkap gambar, melakukan pembentangan, mengawal pemain muzik atau video dan aplikasi rakaman suara. Dengan pengecasan selama 40 saat, S-Pen boleh berfungsi sebagai alat kawalan jauh sehingga 30 minit menurut Samsung.

Samsung Galaxy Note 9

Sebuah lagi penambahbaikan dilakukan dari segi audio yang akhirnya menyokong sistem stereo dengan sokongan Dolby ATMOS. Bicu audio juga dikekalkan bagi mereka yang masih belum memiliki aksesori audio bluetooth. Sebuah fon telinga AKG juga disertakan dengan setiap pembelian. Akhir sekali peranti melepasi tahap kalis air dan debu IP68.

Di Malaysia Samsung Galaxy Note 9 akan mula dijual pada 24 Ogos ini. Harga jualan ialah RM3699 untuk versi 6GB/128GB dan RM4599 untuk versi 8GB/512GB.


TIPS & ULASAN