VAIO Kembali Ke Malaysia – Dua Komputer Riba Ditawarkan, Harga Bermula RM6199

VAIO Kembali Ke Malaysia – Dua Komputer Riba Ditawarkan, Harga Bermula RM6199

Diterbitkan pada Ogos 15, 2018 oleh .

Bagi mereka yang mengikuti sejarah jenama komputer riba, anda pasti ingat akan jenama Sony Vaio, iaitu siri komputer riba di bawah jenama Sony. Jenama Vaio tersebut kini menjadi jenama kendiri yang dinamakan Vaio Corp, dan peranti-peranti mereka dijenamakan semula sebagai Vaio yang diperlihatkan di acara Computex Taipei beberapa bulan lalu.

Pihak Nextsgo hari ini mengumumkan bahawa siri komputer riba Vaio ini, termasuklah Vaio S11 dan Vaio S13 sudahpun mula di kedai-kedai komputer di Lembah Kelang, termasuklah di kedai-kedai di Low Yat Plaza dan Digital Mall.

Komputer riba Vaio S11 ialah sebuah laptop nipis dan ringan yang hadir dengan paparan skrin 11.6 inci yang hadir dengan resolusi Full HD, manakala Vaio S13 pula dilengkapi dengan skrin bersaiz 13.3 inci yang mempunyai resolusi Full HD yang sama.

Kedua-dua laptop ini dikuasakan siri CPU Intel Core generasi kelapan Coffee Lake, pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan storan SSD sebesar 512GB.

Lebih menarik lagi, kedua-dua siri komputer riba Vaio S11 dan Vaio S13 ini dibina dengan bahan binaan yang berbeza. Rangka Vaio S11 dibina menggunakan gentian karbon, manakala rangka Vaio S13 menggunakan aloi magnesium, kedua-duanya bahan binaan yang ringan dan kuat.

Malah, kedua-dua laptop ini hadir dengan rekaan nipis 15.5mm yang sama, dimana komputer riba Vaio S11 mempunyai berat 0.85kg, manakala Vaio S13 pula hadir seberat 1.07kg sahaja.

Dari segi I/O, kedua-dua laptop ini hadir dengan tiga palam USB Type-A, satu palam LAN, satu palam HDMI dan juga VGA.

 

Sebagai sebuah siri laptop yang mementingkan produktiviti dan kebolehan dibawa kemana-mana sahaja, komputer riba Vaio S11 ini hadir dengan daya ketahanan bateri selama 11 jam, manakala laptop Vaio S13 boleh bertahan selama 8 jam dengan satu pengecasan penuh.

Komputer riba Vaio S13 hadir dengan dua pilihan warna, termasuklah hitam dan perak, manakala siri Vaio S11 pula tiba dengan pilihan warna hitam, perak, perang, merah jambu dan putih.

Siri komputer riba Vaio S11 akan dijual bermula dari harga RM6499 hingga RM6699, manakala Vaio S13 pula akan dijual bermula dari harga RM6199 hingga RM8399, bergantung kepada spesifikasi yang dipilih. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, komputer riba siri Vaio ini boleh dibeli di Low Yat Plaza dan Digital Mall, dan selain dari itu, ia juga boleh didapati di kedai atas talian Lazada juga.


TIPS & ULASAN