Berbaloikah Membeli Samsung Galaxy Note 9 Jika Sudah Memiliki Note 8?

Berbaloikah Membeli Samsung Galaxy Note 9 Jika Sudah Memiliki Note 8?

Diterbitkan pada Ogos 16, 2018 oleh .

Samsung Galaxy Note ialah keluarga peranti yang unik di dunia kerana ia peranti mercu yang dilengkapi stylus terbina serta skrin yang bersaiz besar. Terdapat beberapa pengeluar lain cuba mengikuti langkah Samsung sejak Galaxy Note dilancarkan enam tahun yang lalu tetapi kesemuanya gagal memberikan fungsi yang mampu bersaing dengannya. Oleh itu tidak melampau untuk mengatakan pesaing terhampir Galaxy Note 9 ialah Galaxy Note 8. Jadi sekiranya anda sudah memiliki sebuah Galaxy Note 8, adalah berbaloi untuk membeli Galaxy Note 9? Artikel ini cuba merungkai persoalan ini.

Spesifikasi


Galaxy Note 9 mempunyai skrin yang lebih besar dengan keterangan skrin purata yang lebih tinggi berbanding model tahun lalu. Kedua-duanya menyokong resolusi QHD+ dan juga HDR10. Jika diletakkan sebelah menyebelah, dapat dilihat skrin Galaxy Note 9 sedikit lebih terang dengan paparan warna yang juga sedikit lebih menyerlah. Perbezaan saiz skrin tidak ketara dari pandangan mata kasar.

Model asas kedua-dua peranti dilengkapi memori sebesar 6GB RAM tetapi Galaxy Note 9 edisi 512GB hadir dengan memori sebesar 8GB RAM. Ini akan membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan tanpa perlu segar semula dan menjadikannya lebih sesuai bagi peminat permua tegar.

Storan ialah faktor yang kami rasakan penting. Galaxy Note 9 dilengkapi pilihan storan 128GB dan 512GB yang jauh lebih besar berbanding hanya 64GB pada Galaxy Note 8. Sebagai pengguna Galaxy Note 8, saiz storan yang lebih besar Galaxy Note 9 ini sahaja sudah membuatkannya berbaloi untuk dimiliki hari ini. Lebih banyak gambar, video. aplikasi dan siri TV Netflix boleh dimuatkan ke dalam Galaxy Note 9 tanpa perlu memadamkan fail sedia ada. Tambahan lagi Galaxy Note 9 menyokong mikroSD sehingga 512GB yang dua kali ganda lebih besar berbanding hanya 256GB pada Galaxy Note 8.

Akhir sekali ialah pemproses Exynos 9810 Galaxy Note 9 yang sekitar 30% lebih berkuasa berbanding Exynos 8895 Galaxy Note 8. Dari penggunaan setakat in, tiada perbezaan ketara di antara dua pemproses ini dalam penggunaan harian. Jadi kami merasakan pemproses lebih berkuasa Galaxy Note 9 tidak memberikan kelebihan yang ketara berbanding model tahun lalu.

Kamera

Kedua-dua peranti dilengkapi sistem dwi-kamera 12+12 Megapixel dengan sokongan dwi-OIS serta zoom optikal. Penambahbaikan kamera Galaxy Note 9 kami rasakan amat ketara kerana mempunyai sistem bukaan boleh-ubah (f/1.5+f/2.4) dan sokongan rakaman 4K 60FPS. Kemampuan mengambil gambar dalam situasi pencahayaan yang rendah Galaxy Note 9 adalah jauh lebih baik. Kami menyedari gambar yang lebih terang boleh diambil pada waktu malam dengan blooming serta softening yang lebih rendah.

Jika anda mahukan kemampuan kamera terbaik yang boleh ditawarkan oleh Samsung, Galaxy Note 9 ialah yang terbaik setakat ini. Gambar yang diambil pada waktu siang juga mempunyai dynamic range yang lebih tinggi serta penghasilan warna yang lebih baik berbanding Galaxy Note 8. Disamping itu terdapat sokongan kecerdasan buatan pada kamera Galaxy Note 9 bagi memastikan gambar yang lebih baik dapat diambil menggunakan mod automatik.

Dari segi kamera dengan mudah kami katakan Galaxy Note 9 adalah lebih baik berbanding Galaxy Note 8. Malahan kami boleh katakan kamera phablet terkini ini lebih baik berbanding Galaxy S9+ walaupun mempunyai spesifikasi yang sama.

Stylus

Samsung Galaxy Note 9Stylus S-Pen baharu diberikan penekanan dalam kesemua video promosi Galaxy Note 9. Dengan sokongan bluetooth ia memberikan dimensi baru dalam penggunaan S-Pen yang tidak berubah sejak 2011. Ia kini boleh menjadi alat kawalan jauh untuk mengawal kamera, pemain video, aplikasi muzik, perakam audio dan melakukan pembentangan seperti Power Point. Tidak seperti stylus lain di pasaran, S-Pen ini tidak memerlukan bateri yang perlu ditukar. Pengecasan selama 40 saat memberikan kuasa sehingga 30 minit. Pada waktu yang sama ia mengekalkan fungsi melakar pada skrin dengan 4096 tahap tekanan. Harus diingatkan fungsi melakar ini masih tidak memerlukan kuasa bateri untuk digunakan.

Pada Galaxy Note 8 stylus S-Pen hanya boleh digunakan untuk melakar pada skrin dan agak terhad. Sekiranya anda mahukan stylus yang paling bermulti-fungsi di pasaran, Galaxy Note 9 adalah satu-satunya peranti yang menyokong fungsi ini. Seperti yang kami tulis sebelum ini, fungsi bluetooth S-Pen Galaxy Note 9 tidak boleh digunakan pada Galaxy Note 8. Untuk menggunakan kesemua fungsi baharu yang disenaraikan di atas anda perlu memiliki Galaxy Note 9.

Audio

Kemampuan audio Galaxy Note 8 pada hemat kami masih lagi baik terutamanya selepas menerima kemaskini Android 8.0 Oreo awal tahun ini. Ia akhirnya menyokong penstriman LDAC menerusi bluetooth. Tetapi dengan Galaxy Note 9 kemampuan audio dipertingkatkan lagi dengan sokongan pembesar suara stereo. Kualiti audio lebih menyerlah sekiranya mod Dolby ATMOS dihidupkan. Kualiti bunyi yang dahulunya baik kini mencapai tahap cemerlang.

Bateri

Tumit Achilles Galaxy Note 8 ialah bateri sebesar 3300 mah yang digunakan. Ia adalah lebih kecil berbanding yang bateri 3500 mAh yang ditemui pada Galaxy S8+ dan Galaxy S9+. Kedua-dua peranti ini mempunyai skrin yang lebih kecil. Akibatnya Galaxy Note 8 tidak mampu bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana dengan SOT di bawah enam jam.

Galaxy Note 9 ialah peranti mercu pertama Samsung yang dilengkapi bateri berkapasiti 4000 mAh. Akhirnya bateri yang sesuai dengan saiz skrin dan penggunaannya disertakan pada Galaxy Note. Kami baru menggunakan Galaxy Note 9 selama lima hari dan perbezaan ketahanan bateri adalah ketara. Peranti kini boleh bertahan melebihi 20 jam pada penggunaan sederhana dengan SOT mencecah 8 jam. Ini menjadikan Galaxy Note 9 yang paling bertahan lama dalam sejarah Note.

Sebagai seorang power user, hayat penggunaan peranti yang lebih lama ini amat diperlukan. Sukar melakukan tugasan di luar dengan peranti yang mudah kehabisan bateri selepas beberapa jam berfungsi sebagai pemancar WiFi dan menjadi kamera utama di lapangan. Oleh itu bateri berkapasiti tinggi Galaxy Note 9 menyelesaikan masalah yang paling utama kami dengan Galaxy Note 8.

Kesimpulan

Kesemua penambahbaikan yang dilakukan membuatkan Galaxy Note 9 berbaloi untuk dimiliki dari kaca mata seorang pemilik Galaxy Note 8. Kemampuan kamera, storan lebih besar, bateri berkapasiti lebih tinggi, stylus bluetooth dan audio lebih baik berbanding model tahun lalu. Ia adalah perubahan yang cukup besar jika dibandingkan dengan perubahan di antara Galaxy S8+ ke S9+.


TIPS & ULASAN