Samsung Malaysia hari ini telah melancarkan telefon pintar mercu untuk 2018 ini, iaitu Galaxy Note 9 secara rasminya. Pada acara pelancaran berkenaan, Samsung turut mengadakan acara bidaan untuk tiga unit Samsung Galaxy Note 9 edisi khas yang hadir dengan kerangka bersadur emas.
Model yang ditawarkan dalam bentuk edisi khas ini adalah Galaxy Note 9 versi 512GB dan 8GB RAM, selain hadir dengan Protective Stand Cover Case yang hadir dengan “kaki” yang bersadur emas. Untuk makluman, model variasi 512GB ini ditawarkan pada harga RM4599 di Malaysia mulai 24 Ogos ini.
Sebanyak tiga bidaan dibuka, dan bidaan pertama memperlihatkan ia mencapai harga sehingga RM45,000. Untuk dua unit lagi, masing-masing terjual pada harga bidaan RM35,000. Samsung Malaysia mengatakan nilai yang terkumpul daripada bidaan ini akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan.