Samsung Memperkenalkan Cip Exynos Modem 5100 – Modem 5G Dengan Sokongan Sambungan Internet Selaju 6Gbps

Samsung Memperkenalkan Cip Exynos Modem 5100 – Modem 5G Dengan Sokongan Sambungan Internet Selaju 6Gbps

Diterbitkan pada Ogos 15, 2018 oleh .

Samsung baru-baru ini telah menyatakan bahawa peranti Samsung Galaxy S10 mereka yang akan datang tidak akan hadir dengan ciri sambungan data mudah alih 5G,

Mahupun begitu, nampaknya Samsung sudahpun hadir dengan cip modem yang membolehkan peranti pintar menyambung kepada sambungan internet Gigabit tersebut yang dinamakan Exynos Modem 5100.

Cip modem Exynos Modem 5100 ini dibina menggunakan proses 10nm baru Samsung, dan menjanjikan penggunaan kuasa yang cukup rendah sekali.

Samsung menguji cip Exynos Modem 5100 ini dengan menggunakan peranti pintar dan tablet prototaip, bersama-sama dengan stesen pemancar 5G di dalam persekitaran dunia sebenar, melalui sambungan sub-6GHz dan mmWave, yang termaktub di dalam piawaian 5G kumpulan 3GPP.

Apa yang lebih menarik lagi ialah modem ini juga mampu menyokong sambungan-sambungan legasi dari 2G sehinggalah ke LTE. Ini bermakna bahawa pembuat peranti tidak perlu risau mengenai sokongan untuk sambungan data yang lama, terutamanya untuk negara-negara dimana teknologi 5G ini masih belum dibangunkan lagi.

Menurut ujian-ujian Samsung, cip Exynos Modem 5100 ini mampu menyokong kelajuan hingga 2Gbps (200MB/s) dengan sambungan sub-6GHz dan 6Gbps (600MB/s) melalui sambungan mmWave.

Samsung turut menyatakan bahawa cip Exynos Modem 5100 ini akan hadir untuk dibeli oleh rakan pembina peranti mereka pada penghujung tahun 2018.


TIPS & ULASAN