Untuk pengguna peranti Android, WhatsApp menggunakan sokongan Google Drive untuk menyimpan salinan pendua. Kebiasaannya ia akan dilakukan secara automatik pada lewat malam, dan amat berguna sekiranya anda beralih ke peranti Android yang lain – kerana anda boleh kembali mengakses keseluruhan WhatsApp anda tanpa kehilangan sebarang mesej.
Hari ini, pihak WhatsApp mengumumkan beberapa perubahan. WhatsApp kini mengatakan yang mana salinan pendua WhatsApp tidak lagi akan dikira dibawah kuota Google Drive seseorang pengguna – sekaligus membolehkan anda membuat salinan pendua ke Google Drive tanpa risau had storan. Perubahan ini akan aktif mulai 12 November 2018 kelak.
Disamping itu, WhatsApp juga mengatakan mereka akan membuang sebarang data salinan pendua di Google Drive yang tidak dikemaskini untuk tempoh lebih setahun. Untuk memastikan pengguna tidak kehilangan sebarang data, anda dinasihatkan untuk sering melakukan salinan pendua ke awan – sekaligus memastikan data anda lebih selamat lagi.
Di WhatsApp, untuk memulakan proses salinan pendua ke awan, anda hanya perlu ke Menu > Settings > Chat > Chat Backup.