Oppo Malaysia hari ini telah pun melancarkan telefon pintar terbaru mereka secara rasminya untuk pasaran tempatan, iaitu Oppo F9. Telefon pintar ini meneruskan legasi siri-F yang lain, iaitu memfokuskan kepada sokongan swafoto padanya, disamping turut menyertakan beberapa ciri menarik.
Oppo F9 hadir dengan skrin bersaiz 6.3-inci dengan panel LTPS TFT, dilengkapi takuk bersaiz kecil yang mengambil inspirasi “titisan air”, dijana cip MediaTek Helio P60, memori sehingga 6GB RAM, dan ruangan storan sebesar 64GB.
Untuk rakaman gambar, Oppo F9 menyertakan kamera hadapan 25-megapixel untuk swafoto, sementara dwi-kamera belakang gabungan 16MP dan 2MP. Oppo F9 turut dilengkapi sokongan kecerdasan buatan dalam mengecam persekitaran dan menambah-baik mod pengambaran, sekaligus menjadikan hasil rakaman lebih cantik berbanding kebiasaan.
Melengkapkan telefon pintar ini adalah bateri berkapasiti 3500mAh. Menariknya, buat pertama kali Oppo menyertakan sokongan pengecasan pantas VOOC mereka pada telefon pintar siri-F melalui Oppo F9 ini.
Di Malaysia, Oppo F9 akan dijual bermula 30 Ogos 2018 kelak pada harga RM1399. Pengguna yang berminat boleh melakukan pra-tempahan bermula hari ini dibeberapa laman, termasuk di Shopee.