Awal pagi tadi rekaan Honor 8X tertiris menujukan penggunaan takuk bersaiz kecil serta sistem dwi-kamera pada bahagian belakang. Kini lebih banyak maklumat mengenai “telefon pintar” ini diketahui selepas spesifikasinya terpapar pada laman TENAA. Kami menggunakan “telefon pintar” di sini kerana ia sebenarnya lebih layak dikategorikan sebagai sebuah tablet.
Honor 8X dilengkapi skrin sebesar 7.12 inci FHD+, dijana pemproses 1.8GHz lapan teras (mungkin Kirin 710), memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Ini dipadankan pula dengan kamera utama 16+2 Megapixel dan kamera swafoto 8-Megapixel. Dengan skrin yang besar, bateri gergasi 4900 mAh turut digunakan bagi memastikan ia mampu beroperasi dengan lama.
Ini sekaligus menjadikan 8X lebih besar berbanding Honor Note 10 (6.95″) dan Xiaomi Mi Max 3 (6.9″). Adakah terdapat pasaran untuk phablet dengan saiz skrin yang amat besar seperti 8X ini?