Carian
Model Ketiga Dalam Siri Laptop Gaming ASUS Zephyrus Diperkenalkan – ASUS ROG Zephyrus S
August 16, 2018 Nazrin

Siri laptop gaming ASUS Zephyrus telah diperkenalkan sejak dua tahun lepas oleh pihak ASUS sebagai sebuah laptop yang hadir dengan kebolehan gaming yang menyerupai sebuah desktop, tetapi pada rekabentuk sebuah laptop yang ringan dan nipis.

Di acara Gamescom yang kini sedang berlangsung di Cologne, ASUS telah memperlihatkan model laptop ASUS ROG yang ketiga, iaitu ASUS ROG Zephyrus S (GX531). Laptop ASUS ROG Zephyrus S ini terus mengekalkan rekaan nipis yang diperlihatkan melalui laptop-laptop Zephyrus sebelum ini, dengan beberapa kemaskini baru yang membuatkannya lebih menarik.

Dari segi paparan, laptop ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD yang dimuatkan di dalam rangka sebuah laptop bersaiz 14.2 inci. Paparan ini juga turut hadir dengan kadar segar semula 144Hz dengan sela-masa serendah 3ms sahaja.

Dalam pada itu, rangka laptop Zephyrus S ini diperbuat daripada logam. dan ia memastikan bahawa semua komponen-komponen yang hadir di dalam laptop senipis 15.75mm ini dilindungi daripada hentakan serius.

Bercakap tentang rekaan, ASUS ROG Zephyrus S ini mengekalkan rekaan papan kekunci daripada model ASUS Zephyrus pertama, dimana ia hadir dengan bahagian kosong di bahagian atas papan kekunci yang merumahkan CPU dan kad grafik laptop ini.

Laptop ASUS ROG Zephyrus S ini dilengkapi dengan spesifikasi yang cukup berkuasa, sama seperti model-model sebelum ini. Ini termasuklah CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 24GB, dan gabungan storan SSD M.2 PCIe sebesar 512GB dan storan SSD M.2 PCIe kedua pada pilihan 256GB, 512GB dan juga 1TB.

Pilihan kad grafik untuk laptop Zephyrus S ini pula tiba dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6G ataupun kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q yang dibina khusus untuk laptop serba nipis seperti ini.

Diantara ciri-ciri lain yang hadir pada laptop Zephyrus S ini termasuklah sistem penyejukan Active Aerodynamic System (AAS) yang membantu penyejukan komponen-komponen laptop ini melalui bukaan udara yang mempercepatkan pengaliran haba ke kawasan terbuka.

Ciri Armoury Crate dilihat menggantikan ROG Game Center, iaitu sebuah perisian yang membolehkan pengguna melewahjam CPU dan GPU secara cepat, disamping mengubahsuai kelajuan kipas penyejuk dan juga lampu RGB yang hadir di sekeliling laptop dan juga bahagian papan kekunci laptop ini.

Buat masa ini, tarikh ketersediaan laptop ASUS ROG Zephyrus S ini masih belum diumumkan lagi oleh pihak ASUS.

Komen