ARM Inginkan Cip Pemprosesan Akan Datang Untuk Mengatasi Cip Intel

ARM Inginkan Cip Pemprosesan Akan Datang Untuk Mengatasi Cip Intel

Diterbitkan pada Ogos 17, 2018 oleh .

ARM merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi pada peranti mudah-alih, dimana mereka menawarkan rekaan cip pemprosesan yang digunakan ramai pengeluar seluruh dunia. ARM boleh dikatakan mendominasi pasaran telefon pintar – lebih kurang seumpama Intel yang mendominasi pasaran komputer.

Namun, dengan langkah Microsoft lebih mengoptimasikan Windows 10 untuk turut dijalankan pada cip berasaskan ARM, kini kita mungkin melihat persaingan sihat antara Intel dan ARM.

Terkini, berkongsi mengenai sasaran pembangunan cip oleh Arm, mereka menyasarkan untuk cip pemprosesan mereka untuk mengatasi cip keluaran Intel Core i5 tidak lama lagi.

Arm 2020

Melalui graf yang dikongsikan oleh Arm, mereka memperlihatkan yang mana cip Cortex-A76 sendiri memperlihatkan peningkatan yang tinggi berbanding dengan cip Intel Core-i5 yang menunjukkan peningkatan yang sedikit perlahan.

Apa pun, ia boleh dikatakan perbandingan yang dibuat adalah oleh pihak Arm dan bukannya pihak berkecuali – disamping ia menggunakan cip generasi ketujuh daripada Intel, dan bukannya ke-8. Pada masa yang sama, Intel juga boleh dikatakan sedikit ketinggalan dan menghadapi masalah dalam mengeluarkan cip pemprosesan berasaskan 10nm.

Mengikut latar masa pihak Arm juga, mereka menyasarkan untuk hadir dengan cip berasaskan 5nm menjelang 2020 kelak.

Kita mungkin melihat persaingan sengit dalam arena cip untuk komputer riba selepas ini antara Arm dan Intel – apatah lagi dengan peranti Windows 10 berasaskan cip Arm yang dijangka dipasarkan meluas bermula tahun hadapan.


TIPS & ULASAN