Di acara Computex Taipei pada tahun 2017, ASUS telah mengumumkan kehadiran sebuah laptop gaming yang lain daripada yang lain yang dinamakan ASUS ROG Zephyrus.
Tidak seperti mana-mana laptop gaming sebelum ini, laptop ROG Zephyrus ini hadir dengan rekaan nipis seakan-akan sebuah Ultrabook, dengan spesifikasi dalaman yang biasanya dilihat hadir melalui komputer riba yang mempunyai ketebalan dua hingga tiga kali ganda daripadanya.
Semenjak itu, ASUS turut hadir dengan laptop ASUS ROG Zephyrus M, sebuah lagi laptop nipis yang mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama, tetapi rekaan yang jauh lebih agresif, dan kini, ASUS sekali lagi hadir dengan laptop Zephyrus yang baru yang dinamakan ASUS ROG Zephyrus S.

Rekaan Dan Spesifikasi
Sama seperti laptop-laptop ASUS Zephyrus sebelum ini, ASUS ROG Zephyrus S ini hadir dengan rekaan nipis yang diperbuat daripada aluminum dan spesifikasi dalaman yang cukup mantap.

Ia dilengkapi dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD yang dimuatkan ke dalam rangka paparan yang bersaiz 14.2 inci, terima kasih kepada bezel nipis di bahagian sisi dan atas paparan tersebut. Dalam pada itu, ia juga hadir dengan sokongan untuk kadar segar semula 144Hz bersama-sama dengan sela-masa serendah 3ms sahaja.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, laptop Zephyrus S ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 dari 8GB sehingga 24GB, dan dua storan PCIe SSD, salah satunya bersaiz 512GB dan sebuah lagi hadir dengan pilihan dari 256GB, 512GB dan 1TB.
Dengan model ASUS ROG Zephyrus S ini, ASUS turut memberikan pilihan kepada pengguna untuk menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6G ataupun NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q.
Dari segi palam I/O, laptop ini dilengkapi dengan empat palam USB 3.0 Type-A, sebuah palam USB 3.1 Type-C, sebuah palam HDMI yang menyokong paparan GSYNC. Dengan laptop ASUS ROG Zephyrus S ini, ASUS mempergunakan tiga daripada empat sisi laptop ini untuk palam-palamnya, dan pada kami ini satu keputusan yang tepat oleh pihak ASUS kerana ia mengurangkan kesesakan kabel pada laptop ini.

Jika anda biasa dengan rekaan laptop ASUS Zephyrus yang pertama, rekaan Zephyrus S boleh dikatakan hampir serupa dengan laptop tersebut, dengan rekaan papan kekunci yang ditolak ke bahagian bawah, dan bahagian atas di mana CPU dan kad grafik laptop tersebut terletak disejukkan dengan sistem penyejukan Active Aerodynamic System yang akan kami jelaskan dbawah.
Laptop ASUS ROG Zephyrus S ini hadir dengan rekaan rangka yang cukup nipis, pada ketebalan 15.75mm, berbanding dengan 17.95mm pada model sebelum ini apabila paparan laptop ini dibuka. Sama seperti laptop-laptop ASUS ROG Zephyrus sebelum ini, rangka laptop ini diperbuat daripada sekeping blok aluminum untuk memastikan rangka laptop tersebut teguh, dan boleh direka untuk menjadi seringan yang mungkin.

Ciri-Ciri
Laptop ASUS ROG Zephyrus S ini juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang diberi nafas baru yang menunjukkan bahawa ASUS serius mengenai kemaskini terbaru laptop ASUS ROG Zephyrus S ini.
Kemaskini pertama yang paling ketara ialah penggunaan perisian baru untuk mengawal pelbagai aspek laptop ini. Perisian ASUS ROG Game Center, yang sebelum ini dilihat mengawal pelbagai ciri-ciri lain seperti kelajuan kipas penyejuk, CPU, GPU dan juga ciri RGB Aura Sync telah diberikan nafas dan nama baru melalui perisian ASUS Armoury Crate yang hadir dengan tugas-tugas yang sama.

Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat pada perisian terbaru ini ialah rekaannya yang lebih moden dan tidak begitu agresif berbanding dengan perisian ROG Game Center sebelum ini. Dengan perisian Armoury Crate, ia dilihat bahawa lebih banyak fungsi yang dapat diakses menggunakan satu halaman sahaja, berbanding dengan perisian Game Center sebelum ini dimana pengguna perlu klik melalui pelbagai laman navigasi.
Sistem penyejukan Active Aerodynamic System turut menerima satu kemaskini dimana jumlah bilah kipas yang digunakan untuk laptop ASUS ROG Zephyrus S ini meningkat kepada 83 bilah kipas, dan juga sejumlah paip pengalir haba yang digunakan khusus untuk tujuan mengalirkan haba daripada komponen=komponen seperti CPU dan GPU dengan cekap.

Sama seperti model-model ASUS Zephyrus sebelum ini, laptop ini juga dilengkapi dengan empat ruang pengudaraan di bahagian sisi dan belakang laptop ini untuk mengalirkan haba ke bahagian luar dengan lebih cepat, dan penggunaan rekaan asal laptop ASUS Zephyrus memastikan bahawa bahagian papan kekunci laptop ini tidak menghadapi masalah haba yang dihadapi oleh model Zephyrus M sebelum ini.
Bercakap tentang papan kekunci, laptop ASUS ROG Zephyrus S ini turut memperkenalkan semula ciri pad sesentuh di bahagian tepi papan kekunci ini yang boleh juga digunakan sebagai numpad digital yang boleh diaktifkan menggunakan satu butang sahaja. Bagi saya, ciri ini ialah sesuatu yang istimewa yang hadir pada siri laptop Zephyrus ini, dan kami gembira bahawa ASUS telah membawanya kembali melalui laptop Zephyrus S.
Bagi mereka yang suka menggunakan ciri penyalaan RGB, ASUS ROG Zephyrus S turut dilengkapi dengan perisian ROG Sync, dimana pengguna boleh menyelarikan sistem pencahayaan laptop ini yang hadir di bahagian papan kekunci dengan aksesori-aksesori ASUS lain yang menyokong ciri tersebut, termasuklah peranti tetikus dan fon kepala ASUS.
Pendapat
Walaupun laptop ASUS Zephyrus S ini hadir dengan ciri-ciri yang cukup menarik dan kemaskini yang pasti membuatkannya diantara laptop gaming yang pasti dikehendaki ramai, ia turut hadir dengan beberapa kekurangan yang ingin kami tekankan di sini.

Apabila kami menguji papan kekunci laptop Zephyrus S ini, kami dapati bahawa ia masih mengekalkan sistem papan kekunci yang digunakan pada laptop Zephyrus sebelum ini. Sewaktu ujian singkat kami, kami mendapati bahawa papan kekunci ini sedikit cetek, tetapi berdasarkan betapa nipisnya laptop ini, ini adalah satu kekurangan yang kami rasa perlu diterima.
Pilihan untuk menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 dan GeForce GTX 1070 Max-Q adalah cukup aneh sekali buat kami, kerana model ROG Zephyrus M dilihat menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-P (desktop) yang lebih berkuasa.
Bukan itu sahaja, NVIDIA turut mengumumkan kehadiran kad grafik siri GeForce RTX 20XX dan pada hemat kami, mungkin ia lebih baik jika ASUS menyimpan model ini untuk tahun hadapan jika NVIDIA turut akan mengumumkan kad grafik Max-Q untuk GPU siri Turing tersebut.

Menurut pihak ASUS, laptop ASUS ROG Zephyrus S ini bakal diperkenalkan ke pasaran dunia menjelang bulan November kelak. Buat masa ini harga untuk laptop gaming ini masih belum diumumkan lagi, tetapi menyatakan bahawa ia akan hadir pada tanda harga yang lebih murah berbanding kedua-dua model laptop ASUS Zephyrus sebelum ini.