NVIDIA bakal memperlihatkan siri kad grafik terbaru mereka pada minggu hadapan di acara Gamescom, dan ia dikatakan berasaskan cip grafik Turing yang telahpun diumumkan melalui kad grafik NVIDIA Quadro RTX di acara Siggraph awal minggu ini.

Laman web VideoCardz baru-baru ini meniriskan rekaan kotak dan kad grafik dari MSI, iaitu MSI RTX 2080 Ti Gaming X Trio yang dilihat bakal diumumkan di acara tersebut kelak.
Spesifikasi khusus untuk kad grafik ini masih tidak diketahui lagi, tetapi beberapa butiran seperti penggunaan sambungan NVLink yang bakal menggantikan SLI untuk menyambungkan dua atau lebih kad grafik dan sambungan VirtualLink yang menggunakan sambungan USB Type-C telahpun diperlihatkan.

Dalam pada itu, kad grafik RTX 2080 Ti ini juga dilihat menggunakan dua palam lapan pin PCIe untuk menggerakkannya, dan ini menunjukkan bahawa kad grafik ini akan menggunakan kuasa yang cukup banyak.
Dalam pada itu, kad grafik ini juga dilihat menggunakan tiga buah kipas penyejuk, dan hadir dengan sistem pencahayaan RGB bersama-sama dengan plat belakang untuk menyokong berat kad grafik ini.

Seperti yang dinyatakan tadi, NVIDIA bakal mengumumkan kad-kad grafik gaming terbaru mereka pada minggu hadapan, dan kami menunggu dengan sabar untuk kehadiran kad-kad grafik ini.