Xiaomi Malaysia hari ini telah memulakan jualan telefon pintar mercu mereka untuk 2018, iaitu Mi 8. Telefon pintar ini telah dijual melalui kedai atas-talian untuk model 64GB sejak beberapa hari yang lepas, dan hari ini menyaksikan pelancaran ia secara rasminya melalui kedai fizikal seluruh negara.
Di Malaysia, dua variasi Xiaomi Mi8 ditawarkan. Versi 64GB ditawarkan secara eksklusif secara atas-talian sahaja, sementara melalui kedai fizikal, hanya model versi 128GB sahaja yang ditawarkan.
Dari segi spesifikasi, Xiaomi Mi 8 hadir dengna skrin 6.21-inci FHD+ AMOLED dengan rekaan bertakuk diatas, dijana cip berkuasa Snapdragon 845, dan memori 6GB RAM. Ia turut menyertakan sokongan grafik Adreno 630 untuk penawaran permainan dan multimedia yang sangat cantik.
Untuk rakaman gambar dan video, Mi 8 menyerakan dwi-kamera belakang 12-megapixel, selain kamera hadapan 20-megapixel. Ia turut hadir dengan bateri berkapasiti 3400mAh yang dicas menggunakan port USB-C.
Di Malaysia, versi 64GB storan dijual pada harga RM1599, sementara versi 128GB pula ditawarkan pada harga RM1899.