Cari @ Amanz

Dua minggu lalu subjenama baharu Xiaomi iaitu Poco disahkan kewujudannya. Menerusi Poco, Xiaomi cuba bersaing secara terus dengan OnePlus di dalam pasaran peranti mercu yang dijual pada harga yang lebih mampu milik. Beberapa maklumat mengenai spesifikasi Poco F1 telah tertiris tetapi keseluruhan spesifikasi akhirnya diketahui selepas ia menerima sentuhan pandang pertama oleh laman Android Authority.

Poco F1 dilengkapi skrin 5.99″ IPS LCD FHD+ bertakuk, dijana oleh pemproses Snapdragon 845, memori sebesar 6GB RAM dan storan sebesar 64GB. Kamera utama adalah sebesar 12+5 Megapixel manakala kamera hadapannya pula sebesar 20-Megapixel. Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 4000 mAh dengan sokongan QuickCharge 3.0.

Dari segi spesifikasi Poco F1 ialah sebuah Xiaomi Black Shark dengan skrin bertakuk, pilihan RAM lebih kecil dan kemampuan kamera yang lebih rendah. Tidak seperti peranti mercu yang lain, Poco F1 mempunyai panel belakang yang diperbuat daripada plastik dan tidak mempunyai kemampuan kalis air. Ini mungkin dilakukan bagi mengurangkan harga jualannya kelak. Akhir sekali Poco F1 menggunakan sistem operasi Android 8.1 dengan pelancar MIUI 9.6.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd