Cari @ Amanz

Honor Play
Skrin 6.3” IPS LCD
2340 x 1080, 409 ppi
Chipset HiSilicon Kirin 970
CPU 4 x Cortex-A73 2.4 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
GPU Mali-G72 MP12
Memori 4GB RAM
Storan 64GB, mikroSD sehingga 256GB
Kamera Utama 16MP f/2.2 + 2MP f/2.4, 4K@30fps
Kamera Hadapan 16MP f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM/mikroSD
Sistem Android 8.1 Oreo + EMUI 8.2
Bateri 3750 mAh
Dimensi 157.9 x 74.3 x 7.5 mm
Berat & Ketebalan 176g, 7.5mm
Tempoh Ujian
Peranti
1 minggu

Peranti yang memfokuskan kepada permua boleh dikatakan sangat popular sejak akhir-akhir ini, dengan lambakan banyak permainan bergrafik intensif telah hadir pada platform mudah-alih. Antara permainan yang telah berjaya menambat hati pengguna adalah seperti PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang, dan terkini Fornite telah pun mula ditawarkan pada platform ini. Namun dengan grafik intensif, sebuah peranti yang benar-benar berkuasa sangat diperlukan, untuk memberi prestasi dan pengalaman permainan yang lancar.

Honor Play adalah peranti yang memfokuskan kepada kegunaan permua, yang menampilkan spesifikasi tinggi pada harga berpatutan. Ia menawarkan cip berkelas premium, sekaligus membolehkan ia menggalas sejumlah permainan intensif terkini. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan kapasiti bateri yang besar dan ciri-ciri telefon moden pada saat ini, seperti rekaan skrin bingkai nipis dan sokongan dwi-kamera AI.

Dengan penawaran harga RM1249, spesifikasi dan fungsi yang didatangkan pada Honor Play ini cukup menarik perhatian pengguna, namun bolehkah ia memberi pengalaman peranti permua yang memuaskan?

Rekabentuk

Honor Play didatangkan dengan spesifikasi berkelas premium seperti kehadiran skrin 6.3-inci pada resolusi FHD+ dengan nisbah 19.5:9, cip HiSilicon Kirin 970, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 64GB UFS 2.1 bersama sokongan mikroSD. Ia juga dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 4.2, NFC, bersama kapasiti bateri 3750 mAh.

Dari segi binaannya, Honor Play membawakan binaan berasaskan logam, yang mana kelihatan lebih kepada sebuah peranti biasa, berbanding penampakan sebuah peranti permua. Binaan ini terasa sedikit licin apabila berada di tangan, namun anda boleh menggunkan silicon case yang diberikan untuk memberi keselesaan ketika memegang peranti ini.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang pembesar suara dan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim dan kad mikroSD berasaskan hibrid yang ditempatkan pada bahagian kiri. Di bahagian atas peranti, ia tidak menawarkan IR blaster sekaligus tidak membenarkan anda menjadikan peranti ini sebagai alat kawalan jauh. Di bahagian bawah, ia menempatkan sambungan bicu audio, sambungan USB-C, dan pembesar suara berasaskan mono.

Pada bahagian belakangnya, ia menampilkan binaan kamera dan flash secara menegak, seperti yang dilihat pada siri Huawei P20. Di bahagian belakang ini turut menampilkan pengimbas cap jari, yang dilihat mampu memberi tindak balas yang sangat pantas. Apa yang menarik lagi, ia juga menawarkan fungsi Face Unlock, yang dilihat sangat berguna ketika jari anda dalam keadaan basah atau berpeluh untuk mengakses fungsi pengimbas cap jari.

Pada bahagian hadapan, ia kelihatan seperti Huawei nova 3, dengan menampilkan rekaan bertakuk, bersama saiz paparan yang serupa. Ia menawarkan skrin sebesar 6.3-inci pada resolusi Full HD+, dengan panel berasaskan IPS LCD, yang dilihat terang untuk kegunaan harian. Rekaan bertakuk ini menempatkan kamera hadapan, fon telinga, dan sensor proximity, yang juga boleh disorokkan sekiranya anda tidak selesa dengan rekaan takuk ini.

Dari segi variasi, Honor hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM + 64GB. Storan dalaman 64GB ini boleh dikatakan memadai untuk penggunaan hari ini, namun anda boleh mendapatkan kad mikroSD untuk menambah keluasan storan ini. Model ini telah ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Navy Blue dan Ultra Violet, yang mana anda boleh memilihnya sewaktu membuat pembelian peranti.

Sistem

Honor Play dijana dengan antaramuka EMUI seumpama Huawei nova 3, melalui EMUI 8.2 yang dijalankan di atas Android 8.1 Oreo. Antaramukanya tidak membawa perubahan yang besar berbanding iterasi sebelumnya, sekaligus mengundang kritikan yang hebat daripada penggemar teknologi di serata dunia. Namun untuk pengguna biasa, antaramukanya masih kelihatan ceria, dengan kebolehan untuk memilih 10 pilihan tema yang disediakan.

Antaramuka skrin utamanya tidak didatangkan dengan talam aplikasi, namun fungsi talam aplikasi ini boleh diaktifkan pada halaman tetapan. Anda juga boleh mengaktifkan fungsi penggunaan sebelah tangan untuk kawalan peranti melalui satu tangan, dan App Lock untuk sokongan membuka dan mengunci aplikasi melalui imbasan wajah dan jari.

Menariknya, ia hadir dengan fungsi menyembunyikan takuk melalui perletakkan bar hitam, sekiranya anda kurang selesa dengan kehadiran takuk fizikal di atas peranti. Ia juga menyediakan aplikasi Phone Manager, iaitu pusat sehenti untuk menguruskan telefon anda dari segi penggunaan memori dan sekuriti.

Prestasi

Dari sudut prestasi, Honor Play dijana cip Kirin 970, memori 4GB RAM, bersama janaan teknologi GPU Turbo. Sokongan GPU Turbo ini tidak mempunyai sebarang tetapan, tetapi diaktifkan secara automatik untuk memberi kelancaran ketika permua.

Sekiranya anda menggunakan peranti Kirin 970 tanpa GPU Turbo, anda akan dapati sedikit tersedu ketika memainkan PUBG, tetapi dengan Honor Play, kesan tersedu ini dilihat telah dikurangkan melalui penggunaan GPU Turbo. Memainkan PUBG Mobile tidak menawarkan peningkatan kadar bingkai yang ketara, tetapi ia kini lebih memberi bacaan kadar bingkai yang konsisten.

Memainkan permainan lain seperti Asphalt 9 juga dilihat lancar, namun kadar bingkainya tidak sekonsisten PUBG Mobile kerana permainan ini masih belum menyokong fungsi GPU Turbo ini. Sehingga saat ini, hanya terdapat dua permainan sahaja yang mempunyai sokongan daripada GPU Turbo ini iaitu PUBG Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang.

Fungsi lain seperti teknologi 4D Gaming iaitu fungsi getaran pintar ketika memainkan permainan masih belum hadir setakat ini, dan akan diberikan melalui kemaskini perisian akan datang.

Aspek kelancaran prestasi harian juga dilihat lancar, dengan masa pembukaan dan pertukaran aplikasi yang pantas melalui penggunaan storan UFS 2.1. Membuka sesuatu laman web pada Chrome dapat dibuka dengan pantas, selain membolehkan aplikasi lain dapat dilancarkan dalam masa singkat. Cip Kirin 970 juga dilengkapi dengan Neural Processing Unit untuk kegunaan AI, yang dapat membantu untuk menterjemah sesuatu perkataan dan mengenal-pasti subjek di hadapan kamera secara pantas.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Honor Play membawakan fungsi penggambaran standard, dengan menampilkan dwi-kamera 16MP + 2MP pada bahagian belakang, dengan sokongan LED flash bersama sistem penstabilan imej EIS. Sokongan AIS untuk kebolehan rakaman menggunakan tangan bagi Night Mode juga bakal hadir, namun masih belum ditawarkan pada Honor Play di tangan kami.

Untuk kualitinya, Honor Play mampu memberi hasil penggambaran yang memuaskan selagi ia menerima pencahayaan yang mencukupi. Namun apabila ia berdepan dengan situasi pencahayaan malap, hasilannya mudah terdedah dengan kesan hinggar yang ketara, selain memberi hasilan yang lembut untuk penggambaran pencahayaan rendah ini. Tetapi hasilan Portrait Mode-nya kelihatan baik, dengan memberi kesan kabur yang hampir sempurna apabila diteliti pada bahagian sisi subjek.

Ia juga hadir dengan mod AI, dengan menaikkan kontras warna, disamping memberi pencahayaan yang lebih terang pada gambar. Namun saya lebih menyarankan anda untuk menutup AI ini, bagi mengurangkan kesan hinggar dan hasilan warna penggambaran yang lebih semulajadi.

Kamera hadapannya hadir dengan sensor 16MP, yang dilihat memberi hasilan swafoto yang baik, namun ia sedikit memutihkan warna kulit walaupun fungsi Beautify telah dimatikan. Ia juga hadir dengan Portrait Mode, yang juga memberi hasilan yang hampir kemas melalui bantuan daripada AI.

Rakaman videonya menyokong resolusi sehingga 4K, namun sokongan EIS hanya ditawarkan dalam resolusi Full HD. Rakamannya dilihat stabil, namun kualitinya kelihatan agak lembut kerana hasilannya dikecilkan untuk menjayakan sokongan EIS ini. Untuk contoh rakamannya, anda boleh rujuk pada bahagian kamera melalui video ulasan yang disertakan pada artikel ini.

Bateri

Honor Play masih menawarkan kapasiti bateri yang sama seperti Huawei nova 3, dengan penawaran kapasiti 3750 mAh. Dengan penggunaan cip 10nm melalui cip HiSilicon Kirin 970 ini, ia dilihat efisien untuk memanjangkan masa penggunaan peranti.

Dengan kapasiti 3750 mAh dan padanan cip 10nm ini, Honor Play berjaya mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 44 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Honor juga turut menyertakan pengecas Huawei QuickCharge 18W, dengan masa pengecasan sekitar 1 jam 38 minit dari kapasiti bateri 0 – 100%.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Honor Play tidak menyajikan kompromi yang besar malah memberi nilai yang sangat hebat terutama untuk kegunaan permua. Ia hadir dengan skrin sebesar 6.3-inci, cip mercu yang pantas, penggunaan storan UFS 2.1, bersama kapasiti bateri 3750 mAh. Bukan itu sahaja, ia mempunyai sokongan dwi-kamera untuk kebolehan Portrait Mode, sokongan NFC, bicu audio, dan menawarkan penambahan storan kad mikro-SD.

Namun kekurangan yang didapati pada peranti ini adalah, ia tidak menampilkan pembesar suara stereo, selain keupayaan kameranya dilihat kurang memuaskan untuk kegunaan rakaman ketika cahaya malap.

Pro
  • Hadir dengan nisbah skrin moden 19.5:9.
  • Menawarkan prestasi permainan yang pantas dengan grafik tinggi.
  • Keupayaan kamera belakang yang baik untuk penggambaran mesra cahaya.
  • Menyajikan ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 6 jam 44 minit.
  • Menyajikan sokongan GPU Turbo dan fungsi 4D Gaming.
  • Menawarkan bicu audio dan penambahan slot kad mikroSD.
  • EMUI 8.2 dijalankan berasaskan sistem operasi terkini Android 8.1 Oreo.
Kontra
  • Tiada pembesar suara stereo.
  • Keupayaan penggambaran pada cahaya malap yang kurang memuaskan
  • GPU Turbo hanya terhad untuk dua permua sahaja buat masa ini – PUBG Mobile dan Mobile Legends.

Namun dengan harga RM1249, ia telah menewaskan peranti yang lain dalam harga sekitar ini, atas sokongan GPU Turbo dan kehadiran cip mercu yang mampu memainkan sejumlah permainan pada tetapan grafik yang tinggi. Apa yang menarik, Honor Play juga satu-satunya peranti dalam harga ini yang mampu memainkan PUBG Mobile dalam tetapan Ultra. Peranti ini juga mampu menjalankan Fornite, namun anda perlu menunggu di dalam Fornite Beta sebelum anda dapat memainkan permainan ini. Pendek kata, ia sebuah peranti yang cukup berbaloi, yang mana tiada peranti dalam harga ini yang dapat memberi penawaran permua seumpama peranti Honor Play ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd