NVIDIA Memperkenalkan Siri Kad Grafik GeForce RTX – 6 Kali Lebih Berkuasa Berbanding Generasi Sebelum Ini

NVIDIA Memperkenalkan Siri Kad Grafik GeForce RTX – 6 Kali Lebih Berkuasa Berbanding Generasi Sebelum Ini

Diterbitkan pada Ogos 21, 2018 oleh .

Seminggu selepas pelancaran kad grafik NVIDIA Quadro RTX, NVIDIA baru sahaja mengumumkan kehadiran siri kad grafik NVIDIA GeForce terbaru mereka yang menggunakan cip pemprosesan grafik Turing yang sama.

RTX 2080

Di acara Gamescom, NVIDIA mengumumkan kehadiran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 20XX, yang terdiri daripada kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 TiNVIDIA GeForce RTX 2080 dan NVIDIA GeForce RTX 2070.

Selain daripada kemampuan pemprosesan grafik yang jauh melangkaui kebolehan kad grafik siri Pascal sebelum ini, kesemua kad grafik ini turut hadir dengan teras RT (Ray Tracing) yang membolehkan kad grafik ini mengolah cahaya dan bayang-bayang yang lebih realistik secara terus dan cepat, tanpa memberi kesan yang negatif kepada kemampuan cip pemprosesan grafik.

Ketiga-tiga kad grafik ini hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa sekali. Model RTX 2080 Ti misalnya dilengkapi dengan memori GDDR6 sebanyak 11GB, nilai lewahjam Boost Clock setinggi 1635MHz, dan kebolehan Ray Tracing setinggi 10 GigaRays/s. Model RTX 2080 pula hadir dengan jumlah memori 8GB dan nilai Ray Tracing 8 GigaRays/s. RTX 2070 dilengkapi dengan memori sebanyak 8GB, dan nilai Ray tracing 6 GigaRays/s.

NVIDIA turut menyatakan bahawa kesemua kad-kad grafik yang dilancarkan di acara Gamescom tersebut boleh menggerakkan video pada resolusi 8K tanpa sebarang masalah, dan bagi mereka yang mempunyai paparan gaming beresolusi 4K, sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti ini mampu menggerakkan permainan-permainan komputer pada tetapan tinggi dan resolusi 4K pada kadar segar semula 60FPS tanpa sebarang masalah dengan menggunakan sebuah kad grafik sahaja.

NVIDIA turut menyatakan tanda harga untuk setiap kad grafik siri GeForce RTX ini. Pra-tempah di laman web NVIDIA Store dibuka bermula hari ini, dan ia akan mula dijual di kedai-kedai secara meluas bermula 20 September kelak untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti dan RTX 2080. Kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 pula akan dijual bermula bulan Oktober.


TIPS & ULASAN